Kita patut berterima kasih dengan Lim Teong Kim atas jasanya dalam pembangunan bola sepak akar umbi – Shankar Ganapathy
Bekas jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Shankar Ganapathy mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengarah Teknikal AMD yang kini ketua jurulatih Perak FC iaitu Lim Teong Kim atas jasanya dalam pembangunan bola sepak akar umbi negara.
Shankar yang kini merupakan jurulatih di Akademi Villarreal Malaysia berkata demikian apabila melihat perkembangan yang cukup positif dalam pasukan remaja kebangsaan termasuk berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023 serta menjuarai Piala AFF B-19 baru-baru ini.
“Ketika saya di AMD mereka (pemain B-16 & B-19) baru berusia sekitar 13 hingga 14 dan kini merupakan adalah pemain prospek negara.
Saya kena terima kasih kepada bekas Pengarah Teknikal, Lim Teong Kim sebab banyak bantu pembangunan bola sepak akar umbi ini dan benda itu disambung oleh penggantinya sehingga kini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Bagi yang tidak mengenali Shankar, beliau merupakan seorang jurulatih penjaga gol yang cukup berpengalaman apabila pernah bersama pasukan Liga Malaysia seperti Felda United FC, Kuala Lumpur, DBKL dan juga skuad kebangsaan B-16.
Beliau kini melatih pemain di Akademi Villarreal Malaysia dari peringkat umur empat hingga 18 tahun termasuk pemain senior dalam kelab FTA FC.
Dalam pada itu, beliau mengakui walaupun pernah melatih pemain profesional namun beliau tetap berdepan cabaran besar apabila melatih pemain bawah umur, tetapi beliau lebih gembira dan tidak berasa tertekan.
“Memang mencabar kerana jika kita melatih pemain profesional kita ada KPI dan pemain sudah tahu apa yang mereka kehendaki. Untuk pemain bawah umur ini tiada tekanan kerana kita mahu mereka lebih seronok bermain bola sepak.
Bagaimanapun untuk mengawal pemain, pemain akademi lebih mencabar kerana kita perlu beri mereka banyak pengajaran termasuk kerap memberi arahan termasuk melakukan latihan berulang supaya pemain faham dan ingat apa yang perlu mereka lakukan.”
Sementara itu, beliau turut memberi pandangannya yang mana beliau lebih mengutamakan pemain yang bekerja keras dan bijak di atas padang berbanding fizikal.
“Bagi saya jika pemain itu benar-benar komited mahu bermain, saiz fizikal tidak berapa penting kerana apa yang penting adalah bakat, kerja keras dan perlu bijak apabila berada di atas padang.”
Tambahnya lagi, dalam dunia bola sepak moden ketika ini, kehebatan pemain tidak dilihat dari segi fizikal tetapi dari segi kebijaksanaannya pemain itu dalam merencana tidak kira serangan, hantaran dan mengawal permainan.