Ramon Marcote beri petanda ‘comeback’, sesuai bergabung dengan Cheng Hoe atau jadi penyelamat Kedah Darul Aman FC?

1,860

Bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC, Ramon Marcote diperkatakan bakal kembali ke kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas namanya berkali-kali dikaitkan dengan beberapa pasukan.

Terbaru, beliau dilihat semakin aktif berinteraksi menerusi tanda ‘Like’ yang diberikan olehnya pada kebanyakan posting di akaun Facebook rasmi Selangor FC sejak kebelakangan ini.


Perkara ini mencetuskan tanda tanya dari ramai pihak sehingga wujud idea yang mengatakan bahawa ini mungkin merupakan petanda yang cuba diberikan oleh Marcote kepada peminat-peminat Gergasi Merah.

Kemasukan Marcote ke pasukan Selangor FC dilihat tidak mustahil memandangkan kontrak beliau bersama kelab terakhirnya, Ethnikos Achnas dari Cyprus telah berakhir pada bulan Ogos yang lalu.

Tambahan pula, Marcote merupakan salah seorang daripada individu yang berada di dalam barisan kejurulatihan Tan Cheng Hoe sebelum ini sewaktu mengendalikan pasukan Kedah pada sekitar tahun 2015.

Marcote terkenal dengan kepakarannya sebagai jurulatih kecergasan dan kehadiran beliau dapat memberikan kelebihan kepada pasukan Selangor FC dalam memastikan stamina serta keadaan pemain berada di tahap yang terbaik bagi menghadapi saingan yang lebih panjang musim depan.

Sekiranya tidak diletakkan sebagai salah seorang jurulatih, Marcote juga dilihat berkebolehan untuk dijadikan sebagai Pengarah Teknikal buat pasukan tersebut melihat kepada pengalamannya bersama kelab seperti Atletico Madrid dan Al-Hilal sebelum ini.

Gandingan beliau dan Cheng Hoe sebelum ini pernah membantu pasukan Kedah untuk menjuarai Liga Perdana pada tahun 2015 bagi membolehkan mereka kembali bersaing di dalam saingan Liga Super selepas tersingkir pada musim 2012.

Musim pertama selepas layak ke Liga Super, kombinasi dua jurulatih ini berjaya membawa pasukan Kedah untuk berada di tangga ketiga liga bagi tahun 2016 serta menjadi juara Piala Malaysia selepas menewaskan Selangor menerusi sepakan penalti.

Pada masa yang sama, Marcote juga dilihat mempunyai peluang untuk kembali menabur bakti buat bekas pasukannya, Kedah selepas pasukan tersebut melakukan beberapa perubahan besar baru-baru ini.

Marcote menyertai pasukan Kedah sebagai jurulatih kecergasan sebelum diberikan tugas menjadi ketua jurulatih pada penghujung 2017 dan hanya sempat menggalas tanggungjawab selama lebih kurang lapan bulan.

Beliau dilihat sesuai untuk membantu jurulatih sementara pasukan, Victor Andrag bagi memastikan kesemua pemain Kedah dapat memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan selepas ini.

Namun, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan semula sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat beliau.

Terutama sekali dari segi bajet yang diperlukan dalam membantu untuk mengukuhkan lagi pasukan tersebut dari segenap aspek lebih-lebih lagi untuk membawa masuk pemain baharu musim depan.

Bajet juga akan membantu pihak pengurusan pasukan Sang Kenari untuk menyediakan fasiliti latihan yang lebih baik bagi membantu para pemain lebih bersedia untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Akhir sekali, pelapis pasukan yang bersedia di peringkat akar umbi untuk menggalas tanggungjawab seterusnya dan tidak hanya bergantung kepada khidmat pemain sedia ada yang dibeli daripada pasukan-pasukan lain.

Dengan adanya beberapa elemen ini, ia akan mampu menarik bukan sahaja Marcote malah lebih ramai jurulatih berkualiti untuk membimbing pasukan Kedah kembali menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni di Liga M.

Perlu diakui, musim ini bukan lah tahun terbaik buat pasukan Kedah tetap peminat semestinya berharap ‘akan ada sinar di hujung jalan’ dengan adanya perubahan yang sedang giat dilakukan oleh pihak pengurusan yang baru.

Sebelum menyertai Kedah pada penghujung tahun 2014, Marcote pernah berkhidmat bersama pasukan gergasi Sepanyol, Atletico Madrid selaku Pembantu Teknikal untuk pasukan kedua mereka.

Beliau juga pernah mengendali skuad muda Al-Hilal dari pertengahan 2021 sehingga awal 2022 sebelum berhijrah ke Cyprus bersama Ethnikos Achnas sebagai jurulatih.