Asnawi Mangkualam ingin kekal di Ansan Greeners, tekad manfaatkan minit permainan
Pemain kebangsaan Indonesia, Asnawi Mangkualam dilihat akan terus beraksi di Korea Selatan selepas beliau dikatakan akan kekal bermain untuk pasukan Ansan Greeners FC yang kini beraksi di saingan K2 League.
Antara faktor utama keputusan tersebut dilakukan adalah kerana beliau berjaya mendapatkan minit permainan yang agak tinggi sepanjang musim pertamanya beraksi untuk pasukan tersebut.
Meskipun dipancing oleh beberapa pasukan besar seperti Ulsan Hyundai, Asnawi tidak menjadikan status sebagai fokus utamanya malah beliau lebih melihat kepada peluang untuknya dipilih sebagai pemain kesebelasan utama.
Berdasarkan statitistik, Asnawi cemerlang meskipun baru sahaja menyertai pasukan ini Februari yang lalu selepas dibawa dari PSM Makassar.
Sepanjang 44 perlawanan liga, pemain berusia 23 tahun tersebut telah diturunkan sebanyak 26 kali dan bermain sepenuh masa untuk 10 perlawanan daripadanya.
Ini merupakan pencapaian yang agak baik buat seorang pemain muda ASEAN yang diberikan tanggungjawab besar di peringkat tertinggi.
Lebih manis, meskipun sering diletakkan selaku pemain tengah atau pertahanan, Asnawi berjaya mengumpul dua jaringan serta berhasil mencipta dua bantuan gol sepanjang diturunkan.
Tidak hanya cemerlang di kelab, Asnawi berjaya membawa kualiti persembahannya ini bersama setiap kali dipanggil untuk mewakili Sang Garuda.
Pengalaman beraksi dengan pemain-pemain berkualiti di Korea Selatan sedikit sebanyak meningkatkan mutu persembahan Asnawi yang dilihat semakin bertambah baik.
Satu teladan yang bagus buat pemain Malaysia tatkala karier seseorang pemain bola sepak tidak begitu panjang dan seharusnya mereka cuba memanfaatkan perkara tersebut dengan mencari pasukan yang mampu memberi peluang bermain secukupnya.
Jangan jadikan status sebagai matlamat utama tetapi aspek seperti minit permainan serta perkembangan karier yang seharusnya menjadi fokus utama sebelum menerima mana-mana tawaran.
Kerana hanya mengejar status, ada pemain yang terpaksa berada di bangku simpanan meskipun miliki kualiti serta potensi yang besar untuk menyerlah.
Perkara-perkara sebegini hanya akan merencatkan kelahiran lebih ramai pemain-pemain berkualiti di Malaysia.
Peluang bermain terutamanya kepada bakat-bakat muda akan membantu mencepatkan kematangan seseorang pemain dari segi ‘decision making’ dan sebagainya yang juga akan memberi kesan kepada aksi mereka di atas padang.
Perkara-perkara sebegini yang perlu dipertimbangkan oleh kesemua pemain sebelum mengambil sebarang keputusan di dalam karier mereka.
Sentiasa bertanya kepada diri sendiri, apa matlamat sebenar pada awalnya untuk bermain bola sepak, minat atau hanya sekadar mengejar kemegahan dan kemewahan semata-mata?