Piya minta pengadil tamatkan perlawanan selepas ketinggalan 2-0, berdepan penggantungan 6 perlawanan

5,454

Nama Badhri Razi atau lebih dikenali sebagai Piya adalah tidak asing di kalangan peminat bola sepak Malaysia terutama sekali buat penyokong TRW Kelantan FC.

Piya merupakan bekas ketua pasukan Kelantan FC yang telah membantu kelab tersebut memenangi pelbagai kejuaraan sewaktu era kegemilangan sekitar tahun 2010 sehingga 2013.


Namun, baru-baru ini Piya yang telah bersara dari arena profesional sejak beberapa tahun lalu berdepan dengan penggantungan selama enam perlawanan susulan daripada tindakan yang dilakukan olehnya di dalam sebuah perlawanan di Kelantan.  

Beliau yang kini beraksi bersama pasukan Pasir Pekan FC di dalam saingan Liga Bola Sepak Tumpat dikenakan hukuman tersebut kerana telah meminta pengadil memberhentikan permainan selepas pasukannya ketinggalan 2-0 di minit ke-70.

Turut dikenakan tindakan tatatertib adalah ketua jurulatih pasukan, Khairul Zal Azmie yang turut bersama-sama Piya dalam situasi tersebut.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Jajahan Tumpat, selain daripada penggantungan yang diberikan, Pasir Pekan FC turut diarah membayar denda sebanyak RM1,000.

Namun, mereka masih diberikan peluang selama seminggu untuk mengemukakan sebarang rayuan kepada pihak pengurusan liga.

Walau bagaimanapun, situasi ini sepatutnya tidak dilakukan oleh seorang bekas pemain kebangsaan seperti Piya yang memiliki pengalaman beraksi di peringkat tertinggi.

Tambahan pula, beliau seharusnya menjadi contoh kepada pemain-pemain muda yang lain tatkala statusnya sebagai salah seorang pemain legenda yang sering dijulang oleh peminat bola sepak di negeri tersebut.

Sepanjang bersama Kelantan, Piya pernah membantu pasukan tersebut memenangi Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

Beliau cukup dikenali dengan ‘trademark’ sepakan percumanya yang digelar sebagai ‘Gelombong Boya’ oleh para peminat.

Pada masa yang sama, baru-baru ini tular sebuah video tentang pergaduhan yang berlaku di dalam sebuah perlawanan bola sepak di Kelantan.  

Video tersebut menunjukkan pengadil telah dikejar dan dipukul oleh penyokong yang masuk ke padang.

Harapnya, perkara sebegini tidak lagi berlaku di dalam mana-mana aksi bola sepak di Malaysia meskipun hanya di dalam liga tempatan.

Jadikan tragedi menyayat hati yang berlaku di negara jiran sebelum ini sebagai pengajaran terbaik untuk kita wujudkan satu komuniti bola sepak yang jauh lebih baik selepas ini.