Tercalon bagi jawatan Ahli Majlis AFF, Hamidin layak duduki kerusi lebih tinggi dalam AFF

226

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah mengesahkan calon-calon yang akan mengambil bahagian dalam pemilihan bagi merebut jawatan dalam badan tersebut untuk penggal 2022-2026 yang akan berlangsung ketika Kongres AFF di Siem Reap, Kemboja pada 14 November depan.

Malaysia mengetengahkan dua wakil bagi pemilihan tersebut iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin yang bertanding untuk jawatan Ahli Majlis AFF dan juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah untuk jawatan Ahli Majlis Wanita AFF.


Jawatan Presiden AFF pula menyaksikan penyandang, Mejar Jeneral Khiev Sameth menang tanpa bertanding untuk penggal keduanya.

Peluang Hamidin untuk memenangi salah satu daripada lima kerusi untuk jawatan tersebut dilihat agak cerah dengan beliau bakal dicabar oleh enam lagi calon lain manakala Siti Faidul berdepan saingan hebat daripada 11 calon lain bagi kerusi tunggal tersebut.

Namun agak ‘terkilan’ juga sebenarnya apabila Hamidin memutuskan untuk tidak bertanding jawatan yang lebih tinggi seperti presiden atau naib presiden pada pemilihan tersebut.

Jika dilihat berdasarkan kredibilitinya dalam bola sepak negara dan Asia, beliau dilihat mempunyai kewibaan untuk menduduki jawatan yang lebih tinggi dalam badan tersebut.

Malah di dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif.

Beliau juga telah dicalonkan bagi jawatan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mewakili AFC pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif AFC penggal 2023 hingga 2027.

Malaysia juga bukanlah negara yang asing dalam AFF, menjadi lokasi bagi ibu pejabatnya di Putrajaya dan pernah memimpin badan itu sebanyak dua kali iaitu Tengku Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Rithauddeen (1996-1998) dan Sultan Haji Ahmad Shah (2007-2019).

Wakil daripada Malaysia juga pernah beberapa kali diberi tanggungjawab memegang jawatan Setiausaha Agung AFF.

Jawatan untuk Naib Presiden AFF yang memperuntukkan empat kerusi juga hanya menyaksikan tiga calon yang bertanding, dan ia juga dilihat sesuai dengan kredibiliti Hamidin.

Namun, mungkin beliau mempunyai sebab tersendiri untuk tidak bertanding jawatan yang lebih tinggi, tetapi alangkah bagus sekiranya wakil negara mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dalam badan tersebut sesuai dengan reputasi yang dimiliki Malaysia dalam badan tersebut.

Apa-apa pun semoga kedua-dua calon daripada Malaysia ini berjaya menang pada pemilihan tersebut sekaligus memastikan suara Malaysia terus didengari di peringkat Asia Tenggara.