Pembahagian slot 2+2 kelab di ACL 2024 belum dapat ditentukan MFL tanpa kepastian yang sahih

2,042

Terdapat perkongsian yang sebelum ini tular di media sosial tentang pertambahan slot kelab Malaysia dalam kejohanan di bawah kelolaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bermula musim 2024.

Berdasarkan kedudukan yang telah dikongsikan oleh Asean Football, Malaysia kini berada di tangga keempat untuk AFC Club Competition Ranking dengan pungutan mata sebanyak 51.837.


Kejayaan ini membolehkan Malaysia memperoleh slot 2+2 hasil daripada pungutan mata yang berjaya diraih menerusi pencapaian beberapa wakil negara yang cemerlang di peringkat Asia musim ini seperti KL City FC, Johor Darul Ta’zim FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Dilihat pada musim ini, kemungkinan dua slot untuk AFC Champions League (ACL) mungkin akan diberikan kepada dua pasukan teratas Liga Super musim depan manakala juara Piala FA dan Piala Malaysia akan mengisi dua slot berbaki ke Piala AFC.

Namun begitu, ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam belum boleh memberi komen tentang pembahagian slot kelab Malaysia ke kejohanan Asia seperti AFC Champions League dan Piala AFC. 

“Saya rasa perkongsian slot 2+2 masih boleh dianggap andaian buat masa ini, dan berada di posisi saya, amat sukar untuk saya memberikan sebarang komen terhadap andaian di media sosial.

Bila AFC menghubungi FAM dan kemudian memberitahu kepada kami, baru pihak MFL boleh membuat keputusan melihat kepada penstrukturan semula liga, kejohanan serta keutamaan kita pada ketika itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Setakat ini, MFL belum memiliki sebarang keputusan terhadap perkara tersebut tatkala mereka perlu melakukan pertimbangan merangkumi beberapa aspek terlebih dahulu.

Perbincangan yang lebih lanjut dan teliti akan dibuat selepas mendapat pengesahan daripada pihak bertanggungjawab bagi memastikan keputusan yang dibuat akan memberi manfaat kepada semua pihak yang berkaitan terutama sekali kelab bertanding.

“Terlalu awal untuk mengenalpasti pembahagian slot tersebut namun saya percaya pihak Lembaga Pengarah akan membuat keputusan serta memastikan keputusan yang dibuat akan menambahkan nilai kompetitif liga kita.”

Pada masa yang sama, beliau juga percaya dengan kemampuan pasukan dari Malaysia untuk terus cemerlang di peringkat tertinggi Asia tersebut memandangkan wakil-wakil dari negara kita sudah semakin berjaya mempamerkan kejayaan luar biasa di peringkat yang lebih tinggi.

Setakat ini, hanya JDT dan KL City sahaja kelab daripada ASEAN yang berjaya melayakkan diri sehingga ke perlawanan akhir Piala AFC.

“Saya sangat berbangga terutamanya buat KL City dengan bajet yang begitu terhad, saya ingin memberi pujian kepada Stan dan Bojan kerana berjaya buktikan kualiti liga kita.

Kedah juga melakukan tugas yang baik untuk mara ke pusingan kalah mati Piala AFC, JDT cemerlang beraksi menentang juara Korea Selatan dan Jepun, kita berharap tahun hadapan perkara sama dapat dilakukan.”

Stuart juga menyatakan kesediaan MFL dalam terus membantu memudahkan urusan pasukan-pasukan negara yang akan bertanding di kejohanan Asia selepas ini.

MFL akan berusaha sehabis baik dalam menyusun atur jadual liga bagi memastikan tiada masalah berbangkit serta memberi kesan kepada prestasi kesemua pasukan baik di saingan domestic mahupun antarabangsa.

“Kami akan cuba menjadi ‘flexible’ dengan jadual pasukan, kadang-kadang kalendar berubah disebabkan kelayakan mereka ke pusingan seterusnya.

Kami ingin memberikan sokongan kepada semua pasukan yang bersaing di dalam kejohanan AFC kerana ia akan membuka peluang kepada kelab Malaysia yang lain.”