Diperli oleh Fandi Othman, mungkin Caprice berminat ulas isu yang berlaku dalam Liga Malaysia pula
Sejak kebelakangan ini, nama penyanyi rap, Caprice menjadi kecoh di media sosial gara-gara tindakannya yang dianggap ‘seperti menjaga tepi kain orang’ dalam mengulas isu-isu yang berlaku di tanah air.
Sebilangan pihak juga turut menggelarnya sebagai detektif atau Sehrlock Holmes Malaysia kerana beliau amat aktif dalam ‘menyiasat’ kebanyakan isu besar yang berlaku.
Disebabkan itu, ramai pihak yang mula memerli beliau di media sosial termasuklah syarikat pasar raya besar, Mydin sehingga penyanyi rap itu mahu membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Baru-baru ini, pemain Sri Pahang FC, Fandi Othman juga tidak terkecuali dalam mengusik penyanyi rap tersebut di ruangan Instagram.
Dalam satu hantaran yang dilakukan oleh Caprice, pemain berusia 30 tahun itu meninggalkan komen: “Salam boss, maaf tanya, nama dalam IC boss cap bin rise ke?” yang kemudiannya dibalas oleh Caprice dengan: “Salah, it is actually cap bin crazy”.
Caprice juga seakan-akan suka dengan jenaka yang dilakukan oleh Fandi sehingga meletakkan komen tersebut sebagai ‘pinned comment’.
Mungkin selepas ini, Caprice juga boleh menceburkan diri dalam arena bola sepak tempatan kerana ia juga tidak lari daripada pelbagai isu dan masalah.
Contohnya isu gaji yang sejak sekian lama tiada penghujung dan juga isu keadaan padang yang teruk sehingga menjejaskan mutu permainan.
Dengan campur tangan Caprice, mungkin lebih banyak pihak yang akan membuka mata terhadap isu-isu tersebut.
Mungkin juga kelab-kelab atau pihak tertentu akan lebih takut apabila Caprice mula mengulas tentang isu yang berlaku dalam bola sepak Malaysia.