Faisal Halim ceburi bidang perniagaan, contoh atlet bijak sediakan pelan B dalam karier

5,284

Musim ini boleh dikatakan musim yang amat cemerlang buat pemain Terengganu FC, Faisal Halim dengan beberapa pencapaian buat kelab dan juga negara.

Beliau berjaya membantu Terengganu layak ke saingan Piala Asia 2023 selain menjaringkan gol pertamanya bersama skuad kebangsaan.


Kini, pemain itu melebarkan sayapnya dalam bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk makanan jenama sendiri iaitu, Sambal Bilis Siuuuuuuu!!! baru-baru ini.

Walaupun baru berusia 24 tahun, beliau dilihat sudah berfikir tentang masa hadapan untuk mempunyai pelan selepas bersara satu hari nanti

Umum mengetahui bahawa karier seorang pemain bola sepak kebiasaannya tidak lama, kebanyakannya sudah mula menunjukkan penurunan prestasi pada awal 30-an dan ramai yang mengambil keputusan untuk bersara sebelum mencecah umur 40.

Justeru, Faisal dilihat sudah bijak dan matang dalam menambah lagi cabang periuk nasinya untuk persiapan masa depan.

Tidak ramai sebenarnya atlet yang ada pelan B selepas bersara dan sebilangan hanya mengharapkan wang ihsan sumbangan pihak-pihak tertentu.

Di samping itu, kerja keras Faisal dalam menaikkan reputasi dirinya membuahkan hasil apabila boleh mengeluarkan produk dengan menggunakan nama sendiri.

Jika prestasi atas padang tidak seberapa, sudah tentulah orang ramai pun tidak begitu teruja untuk mencuba produk yang dikeluarkan.

Selain itu, segala pencapaian dan kejayaan yang diraih Faisal musim ini berjaya meningkatkan lagi harga pasarannya yang kini berharga €300,000 (RM 1.4 Juta), menurut laman Transfermarkt.

Ia adalah peningkatan €150,000 (RM700,000) daripada nilainya pada tahun lalu dan menyaksikan beliau adalah antara pemain tempatan dengan nilai tertinggi.

Walaupun masih muda, apa yang dilakukannya di dalam dan luar padang boleh menjadi contoh yang amat baik buat pemain-pemain lain untuk berusaha lebih kuat.