Tchetche Kipre beri bayangan bakal ke Sabah FC, seorang lagi ‘kuda tua’ jadi pilihan DOKS?
Baru-baru ini, penyerang Terengganu FC, Tchetche Kipre mengejutkan banyak pihak apabila memuatnaik satu hantaran Instastory yang memaparkan bendera Sabah dengan kapsyen: “This is Malaysia, My next destination”.
Ramai yang menganggap bahawa hantarannya itu seolah-olah satu bayangan bahawa beliau akan angkat kaki daripada Terengganu dan menyertai Sabah FC musim depan.
Ia sudah tentu satu perkara yang mengejutkan memandangkan pasukannya baru-baru ini memintas Sabah pada perlawanan terakhir liga untuk slot ke Piala AFC musim depan.
Tetapi ia juga tidak mustahil memandangkan ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee sebelum ini pernah membawa nama-nama besar seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Fahmi Che Mat menyertainya.
Ada yang mempertikaikan umur Kipre yang sudah tua iaitu 35 tahun, namun jika dilihat berdasarkan jendela perpindahan yang lalu, ramai juga pemain berpengalaman yang dibawa masuk oleh Kim Swee.
Mungkin ia adalah pendekatan Kim Swee untuk menggunakan pemain yang berpengalaman untuk membentuk pasukannya, dan ia telahpun dibuktikan apabila Sabah berjaya menamatkan musim di tangga tiga teratas Liga Super sejak penubuhannya.
Jika Kipre dibawa masuk untuk menggantikan Jose Embalo, ia dilihat sebagai satu upgrade buat Sabah kerana berdasarkan statistik, kedua-dua pemain itu ibarat langit dengan bumi.
Musim ini, Kipre menjaringkan 13 gol dalam 14 penampilan Liga Super manakala Embalo pula hanya sekadar menjaringkan satu gol dalam tujuh perlawanan.
Jadi jelas sekali bahawa kemasukan Kipre mampu menambah lagi bisa Sabah di bahagian serangan.
Kehilangan Kipre juga pastinya akan dirasai oleh pasukan itu kerana beliau merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan 16 gol dalam 18 penampilan di setiap kejohanan.
Walaupun berjaya merampas slot ke Piala AFC, Terengganu masih dilihat mempunyai masalah untuk mengekalkan tonggak mereka.
Ketika ini, ketua jurulatih, Nafuzi Zain serta pemain sayap, Faisal Halim masih belum membuat keputusan mengenai masa depan mereka.
Sekiranya kehilangan tonggak-tonggak penting dalam pasukan, Terengganu harus membawa masuk lebih ramai pemain yang setaraf atau lebih baik untuk memastikan mereka mampu memberi saingan dalam kejohanan Piala AFC musim depan.