Lima negara AFF bangga pakai jersi jenama tempatan, hanya tiga negara pilih jenama luar Asia Tenggara

7,012

Jersi merupakan antara kelengkapan yang penting dalam sukan bola sepak kerana ia bukan sahaja satu persalinan buat pemain, tetapi juga melambangkan identiti pasukan.

Sebahagian negara yang bernaung di bawah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menggunakan jersi yang direka oleh jenama tempatan mereka iaitu Thailand, Indonesia, Kemboja, Laos dan Brunei.


Vietnam, Myanmar dan Timor Leste pula memilih jenama dari negara Asia Tenggara lain sebagai penaja jersi mereka manakala Malaysia, Singapura dan Filipina adalah negara yang menggunakan jenama luar daripada Asia Tenggara.

Berdasarkan jumlah tersebut, dapat disimpulkan bahawa hampir separuh bangga mengenakan jersi hasil keluaran jenama tempatan.

Ini adalah satu perkara yang cukup membanggakan dan menunjukkan bahawa mereka memberi sokongan yang padu terhadap jenama tempatan.

Selain itu, Thailand juga dilihat ke hadapan dalam bidang penghasilan pakaian sukan kerana menjadi pilihan dua negara lain selain pasukan kebangsaan sendiri.

Perkara ini mungkin boleh dicontohi oleh Malaysia sendiri dalam mengangkat jenama pakaian sukan sendiri ke tahap yang lebih tinggi.

Malaysia juga sebenarnya mempunyai banyak jenama yang berkualiti dengan teknologi terkini dan rekaan moden seperti Voltra, Kaki Jersi dan Al-ikhsan.

Dari segi harga pula, jenama tempatan juga lebih murah, jadi ia secara tidak langsung dapat mengelakkan ‘budaya’ membeli jersi tiruan dalam kalangan penyokong.

Jenama-jenama tempatan juga pastinya lebih berbangga apabila logo mereka terpapar di jersi pasukan kebangsaan sendiri berbanding jenama gergasi luar yang lebih menganggap ia sebagai satu pemasaran.

Tambahan pula, sudah terdapat suara-suara dalam kalangan penyokong yang sudah bosan dengan rekaan Nike yang dianggap tidak kreatif.

Jadi, ini adalah masanya untuk jenama-jenama tempatan lebih agresif dalam membuktikan bahawa mereka mampu menjadi penaja bagi Harimau Malaya.