Azraai Khor tidak tolak bekerjsama dengan pengurusan Kedah Darul Aman FC jika niat ikhlas dan betul

1,130

Bekas ketua jurulatih legenda Kedah, Azraai Khor sentiasa bersedia untuk berkongsi pendapat dengan pihak pengurusan terkini pasukan Kedah Darul Aman FC sekiranya beliau diperlukan.

Dengan syarat, individu tersebut tidak memiliki sebarang rencana selain daripada fokus untuk sama-sama kembali menjulang pasukan Kedah menjadi pasukan yang digeruni dan disegani di Malaysia.


“InshaAllah kalau dua-dua ada niat yang elok, seperti contoh yang selalu diberikan oleh arwah Datuk Basri yang selalu berpesan untuk sentiasa jujur dan ikhlas.

Apa yang kita buat kita kena ada jiwa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau cukup mengagumi kredibiliti Allahyarham Dato’ Ahmad Basri Akil sebagai antara individu yang bertanggungjawab di dalam mengangkat reputasi pasukan Kedah ke tahap yang lebih tinggi termasuk meraih gelaran ‘double treble’ suatu ketika dahulu.

Azraai berharap agar kejayaan-kejayaan seperti ini dapat menjadi contoh dan teladan terbaik buat pengurusan semasa dalam memastikan nama baik Sang Kenari dapat terus dijaga untuk jangka masa yang panjang.

Dalam pada itu, beliau tetap menghargai kehadiran pemilik baru kelab, Tan Sri Daud Bakar yang dilihat mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi terhadap pasukan tetapi masih perlu belajar tentang banyak perkara untuk cemerlang di dalam industri ini.

“Hanya ada satu saja Dato’ Ahmad Basri Akil, tentang Tan Sri Daud ini saya tidak mengenali beliau terlalu dalam.

Saya hanya membaca dari media tentang komen-komen dan penulisan beliau, beliau adalah seorang yang pakar di dalam kewangan tetapi beliau masih baru di dalam bola sepak.”

Azraai akui kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh ahli perniagaan tersebut sejak mengambil alih pasukan dan menganggap sikap tersebut sebagai sebuah perkara yang sangat baik ditambah dengan kehadiran orang sekeliling yang mampu membantu.

“Sudah tentunya kita nampak yang dia cuba untuk belajar dan menyesuaikan diri, beliau adalah seorang individu yang positif.

Beliau akan belajar banyak benda tetapi paling penting adalah peranan orang di sekeliling dalam memberi input kepada beliau.”

Dengan ada bantuan daripada orang yang mahir tentang selok belok bola sepak, lebih mudah untuk pemilik tersebut mengatur strategi yang lebih berkesan dalam menstruktur semula pasukan.

Termasuk elemen-elemen penting seperti pemilihan pemain import dan faktor lain-lain yang penting dan memberi kesan kepada pencapaian pasukan.

“Beliau kena ada individu yang memiliki idea, cetusan solusi tentang apa yang perlu dibuat dalam menguruskan pasukan, bukan mudah untuk melakukan perkara tersebut.

Perancangan tentang musim baru, penilaian skuad yang ada antara perkara yang penting.”

Pada masa yang sama, beliau berharap agar pembangunan ‘ubi muda’ di Kedah akan kembali mendapat perhatian daripada pihak pengurusan kelab serta persatuan bola sepak negeri.

Sejak kebelakangan ini, tidak ramai pemain muda yang terlahir dari negeri Kedah sepertimana yang pernah dilakukan sebelum-sebelum ini.

“Tiada pembangunan pemain muda di Kedah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Buktinya, kita tengok keputusan pasukan di MSSM, SUKMA, Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini.”

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen