Aaron dibelenggu masalah konsistensi

200

“Saya sudah buat yang terbaik tetapi rasanya masih jauh daripada apa yang dijangkakan.

“Kurang konsisten menjadi masalah utama saya.”


Ini antara luahan pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia ketika ditanya tentang persembahannya sepanjang tahun 2021.

Pemain berusia 24 tahun kelahiran Melaka itu berkata, dia berasa kecewa selepas gagal memenangi sebarang gelaran pada kejohanan besar termasuk Sukan Olimpik dan Kejohanan Badminton Dunia 2021 baru-baru ini.

Satu-satunya pengubat hati Aaron ialah semasa memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik di Jepun ketika bergandingan dengan Soh Wooi Yik.

Ekoran daripada pencapaian ‘buruk’ pasangan beregu itu, skuad badminton negara menerima kecaman yang hebat di platform media sosial.

Aaron berkata, dia masih belum dapat melupakan komen dan kritikan pedas yang diterima daripada peminat sukan badminton tanah air.

“Ini adalah detik yang paling sukar dalam karier saya. Saya dan Wooi Yik sudah buat yang terbaik tetapi gagal memuaskan hati mereka.

“Saya perlu melupakan kejadian itu dan memandang ke hadapan. Saya perlu tampil lebih konsisten tahun depan.

“Saya perlu berlatih bersungguh-sungguh dan baiki semua kelemahan saya.

“Saya mahu tampil lebih baik pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Harimau Malaya.

Aaron-Wooi Yik tersungkur pada pusingan ketiga kejohanan dunia selepas tewas kepada pasangan China, He Ji Ting-Tan Qiang.

Selepas memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik, mereka tidak lagi memperoleh keputusan positif apabila sering tumpas seawal pusingan pertama ketika menyertai beberapa kejohanan terdahulu.

Bagaimanapun, Aaron berkata, sudah pasti dia akan bermain bersungguh-sungguh setiap kali diturunkan dengan meletakkan sasaran tinggi untuk beraksi di pusingan akhir seterusnya membawa kejayaan untuk negara.

Walaupun masih gagal menamatkan penantian merangkul gelaran pertama di pentas antarabangsa sejak digandingkan pada 2017, pasangan yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Flandy Limpele itu masih boleh berasa lega dengan pencapaian mereka tahun ini.

Aaron-Wooi Yik mencipta sensasi apabila menyumbang pingat gangsa buat kontinjen negara pada Sukan Olimpik 2020.

Kejayaan itu hadir selepas mereka menundukkan beregu berpengalaman Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi penentuan gangsa.

Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik membuka tirai saingan musim ini dengan cemerlang apabila muncul naib juara Terbuka Thailand, Januari lalu.

Bagaimanapun, masalah konsistensi yang menghantui pasangan tersebut sepanjang tahun ini menyaksikan mereka terlepas beberapa peluang untuk muncul juara dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF.