Nafuzi Zain masih belum buat keputusan sambung kontrak, Tomislav Steinbruckner pelan B untuk Terengganu FC?

1,156

Setelah sekian lama nasib ketua jurulatih, Nafuzi Zain menjadi tanda tanya, Ahli Lembaga Pengarah Terengganu FC memutuskan untuk memberi lanjutan kontrak setahun kepada beliau selepas mengadakan mesyuarat semalam.

Bukan itu saja, pasukan Pantai Timur itu turut mengumumkan mereka mengekalkan khidmat pengarah teknikal, Tomislav Steinbruckner musim depan.


Bagaimanapun, Nafuzi masih lagi belum membuat keputusan berhubung tawaran itu kerana mahu berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.

Namun, Nafuzi hanya diberikan masa 14 hari untuk berbuat demikian kerana beliau harus memberi jawapan dalam tempoh tersebut.

Ketika ini juga, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Kedah Darul Aman FC berminat untuk membawa pengendali yang berasal dari Kelantan itu bagi menggantikan bekas ketua jurulatih, Aidil Shahrin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah, Khamal Idris Ali sebelum ini juga berkata bahawa pihaknya ketika ini menghormati kedudukan Nafuzi sebagai ketua jurulatih Terengganu dan akan memaklumkan mengenai posisi ketua jurulatih kelab itu kelak.

Sebelum ini juga, terdapat sumber yang mengatakan bahawa Steinbruckner adalah antara calon yang dipertimbangkan untuk menggantikan Nafuzi.

Dengan lanjutan kontrak yang diberikan kepada Steinbruckner, Terengganu nampaknya seakan-akan sudah mempunyai pelan B sekiranya Nafuzi berhasrat untuk angkat kaki.

Sekiranya Steinbruckner mengambil alih jawatan tersebut daripada Nafuzi, beliau mungkin tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan kerana tidak asing lagi dengan bola sepak Terengganu.

Jurulatih berusia 56 tahun itu pernah mengendalikan skuad T-Team, yang kini dikenali sebagai Terengganu FC II, pada 2015 dan pernah membawa skuad itu ke saingan Liga Super daripada Liga Perdana