Naturalisasi Romel Morales, Paulo Josue selesai sebelum musim 2023, import baru ganti tempat mereka – Khalid Samad
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mengesahkan bahawa usaha untuk menaturalisasikan dua pemain KL City FC, Romel Morales dan Paulo Josue sedang berjalan dan dijangka dimuktamadkan sebelum musim 2023.
Menurutnya, KL City akan membawa masuk import baru selepas kedua-kedua pemain itu berjaya dinaturalisasikan bagi menggantikan kuota pemain import yang ditinggalkan mereka.
“Selepas proses naturalisasi mereka berjaya, kami akan membawa masuk pemain untuk kukuhkan lagi pasukan.
Ini kerana berdasarkan analisa perlawanan menentang Al-Seeb, kami lihat apabila mereka berjaya kawal Paulo maka kita hilang sengat, jadi perlu ada pemain lain dengan kualiti sama untuk sukarkan pihak lawan kawal pergerakan KL City,”
katanya.
Tambahnya, pihaknya kini sudah memutuskan untuk memberi bonus pencapaian kepada para pemain dan barisan kejurulatihan atas musim yang memberangsangkan.
Katanya, bonus Piala AFC sudahpun dibayar kepada pasukan selepas mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir setelah menewaskan wakil Uzbekistan, Sogdiana.
“Ini bukan bonus Piala AFC kerana kami tidak boleh bagi bonus apabila pasukan tewas, tetapi ia berdasarkan prestasi mereka sepanjang tahun.
Kita juga akan melangkah ke Piala Malaysia sebagai juara bertahan dan sekiranya pasukan mampu ulangi kejayaan tahun lalu, akan ada bonus untuk mereka.”
Sementara itu, beliau berkata terdapat empat syarikat swasta yang telah berhubung dengan KL City bagi menyatakan minat mereka untuk menjadi penaja pasukan musim depan.
Menurutnya, ini adalah satu perkembangan yang baik supaya kantung kewangan kelab tidak lagi berharap kepada syarikat yang mempunyai pertalian dengan kerajaan semata-mata.
Beliau juga berkata, kelab juga mempunyai perancangan untuk melabur dalam bidang perniagaan untuk mengukuhkan lagi kewangan pasukan tanpa mengharap duit dari luar sahaja.