Saiz bukan penghalang, AMD beri peluang untuk semua pemain tunjukkan bakat – Mohd Aliff
Jurulatih AMD Cougars B14, Mohd Aliff gembira dengan kualiti pemain-pemain yang dimiliki oleh Akdemi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) pada ketika ini.
Kini, kita dapat melihat kehadiran ramai pemain cilik yang mempunyai kebolehan permainan yang tinggi dan memukau.
Situasi ini jelas menunjukkan kejayaan yang berjaya dihasilkan daripada usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak akademi sejak ditubuhkan.
“Dekat AMD, kita akan bagi peluang kepada pemain semua pemain berpotensi untuk mendapatkan minit permainan kerana mereka bertubuh kecil sekarang tapi ke depan mereka mampu menjadi lebih bagus dengan teknik yang baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa yang sama, Aliff juga nyata berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh anak buahnya pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di kejohanan Piala Supermokh.
Mereka berjaya mengikat pasukan dari Korea Selatan, Hwaseong FC dengan keputusan seri 2-2.
“Pertama sekali, pemain kita telah menunjukkan semangat berjuang yang sangat baik walaupun tidak memenangi perlawanan
Apapun, pemain saya sudah berikan yang terbaik.”
Sudah semestinya, ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh pasukan ini menjelang aksi kedua kumpulan pada esok hari (27 Oktober) menentang MFK Rezekberok.
Terutama sekali di bahagian serangan yang dilihat sedikit tumpul selepas gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang.
“Kita cuba bermain dengan DNA yang sedia ada, kita hasilkan banyak peluang tetapi tidak berjaya menghasilkan jaringan daripadanya.
Banyak sangat peluang kita untuk menang perlawanan tadi.”
Tidak mahu memberi tekanan kepada pemain-pemain muda, beliau berharap agar pengalaman beraksi menentang kelab-kelab dari serata dunia ini sebagai peluang untuk mereka menimba pengalaman.
Beliau percaya cabaran seperti ini akan membantu dalam membentuk para pemainnya untuk menjadi lebih matang di masa hadapan.
“Kita akan bagi kata-kata semangat dan ia perkara biasa di dalam bola sepak.
Ini adalah suatu pembelajaran yang baik untuk mereka yang telah melalui pengalaman seperti ini dan di masa depan, mereka akan bertemu dengan cabaran yang lebih besar.”