Perak FC aktif cungkil bakat ubi muda tempatan, anjur sesi pemilihan berkonsep kejohanan dengan hadiah RM24,000
Sejak Lim Teong Kim mengambil alih jawatan ketua jurulatih Perak FC, pasukan itu dilihat sudah mula mencipta revolusi dalam pasukan dengan mengutamakan bakat-bakat muda untuk diketengahkan dalam pasukan utama.
Ini dapat dilihat daripada kemasukan pemain baru iaitu Harith Naem yang berusia 20 tahun dan Ilham Aqil yang berusia 19 tahun.
Tidak terhenti di situ, pasukan itu juga bakal turun padang sendiri bagi mencari bakat-bakat yang terdapat di sekitar Perak menerusi kejohanan Piala Dato’ Seri Azim Zabidi.
Walaupun berbentuk kejohanan, menurut Pengarah Sukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar, ia sebenarnya adalah satu sesi pemilihan bagi mencari pemain mengisi tempat dalam skuad B-23 dan B-20 Perak.
Beliau berkata demikian dalam satu temuramah bersama stesyen radio Perak FM.
Menurutnya, kejohanan itu akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan dengan 12 pasukan dalam setiap zon.
Hadiah keseluruhan yang ditawarkan pula adalah sebanyak RM24,000 dengan yuran penyertaan adalah percuma.
Jelasnya, ini adalah antara inisiatif oleh pihak pengurusan untuk mencungkil bakat-bakat muda yang berada di seluruh Perak serta meningkatkan martabat bola sepak negeri itu.
Ketua jurulatih skuad B-23 Perak, Yusri Che Lah adalah antara juri yang akan menilai bakat pemain pada kejohanan itu kelak.
Ini merupakan inisiatif yang harus dipuji dan dapat memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai platform untuk menonjolkan bakat sebelum ini.
Perak sememangnya dikenali dengan kehebatan ‘ubi muda’ mereka, dan dengan kejohanan ini, semoga ia mampu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti tinggi.