Pertembungan hangat Kelantan FC, JDT di suku akhir Piala Malaysia mungkin jadi realiti

1,719

Piala Malaysia membuka tirainya semalam dengan enam perlawanan berlangsung, menyaksikan pasukan-pasukan pilihan menepati jangkaan menewaskan lawan masing-masing.

Kelantan pula berjaya menghadiahkan kekalahan 1-0 buat pasukan Liga Super, Sarawak United walaupun bermain di tempat lawan.


Kemenangan itu menyaksikan Kelantan berjaya mencatatkan kemenangan ke atas pasukan Liga Super sejak tahun 2019.

Di atas kertas kelebihan sudah tentunya berpihak kepada Kelantan pada perlawanan kedua nanti kerana akan beraksi di stadium keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad IV yang pastinya dipenuhi oleh penyokong seperti selalu.

Sekiranya mereka mara ke pusingan suku akhir, ia bakal menjadi pencapaian terbaik mereka sejak 2018 dalam kejohanan itu.

Lawan yang bakal menanti mereka juga nampaknya sudah diketahui, tak lain tak bukan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas PJ City FC.

Pertemuan kedua-dua pasukan ini pastinya dinanti-nanti oleh peminat bola sepak kerana perseteruan kedua-dua kelab ini sudah wujud sejak dulu lagi.

Ia juga sering menampilkan aksi panas sama ada dalam kalangan pemain atau penyokong.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada tahun 2018, juga dalam saingan Piala Malaysia.

Malah perlawanan antara Kelantan menentang pasukan feeder JDT, JDT II musim ini dalam saingan Liga Perdana juga terdapat insiden panas melibatkan penyokong yang membaling botol ke dalam kawasan padang.

Perlawanan ini juga boleh menjadi peluang buat Kelantan ‘membalas dendam’ selepas terlepas gelaran Liga Perdana kepada JDT II.

Ironinya, kebangkitan Kelantan musim ini sedikit sebanyak telah disumbangkan oleh anak Johor iaitu pemilik, Norizam Tukiman atau Zamsaham dan ketua jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya.