Pemain Chonburi FC memandu dalam keadaan mabuk hingga libatkan kematian, jadi pengajaran buat pemain untuk jaga disiplin

3,988

Arena bola sepak Thailand semalam dikejutkan dengan berita penjaga gol Chonburi FC, Worawut Sukuna yang didakwa memandu secara mabuk menyebabkan kematian orang awam dan seorang lagi cedera parah.

Menurut laporan, tahap alkohol dalam badannya ketika kejadian tersebut adalah pada 184mg/dL, jauh melebihi paras minimum yang dibenarkan untuk memandu iaitu 50mg/dL.


Kelab itu telah pun mengeluarkan kenyataan menggantung pemain itu hingga siasatan pihak polis selesai.

Seorang lagi pemain, Chalermpong Kerdkaew turut digantung selepas didakwa cuba membantu rakan sepasukannya itu melarikan diri dari tempat kejadian.

Pengurus pasukan, Sasit Singtothong turut berundur daripada posisinya atas rasa tanggungjawab terhadap kelakuan kedua-dua pemainnya itu.

Presiden kelab, Wittaya Khunplome berkata pihaknya telah mengunjungi keluarga mangsa secara peribadi dan menyerahkan sumbangan sambil menegaskan kelab itu tidak akan melindungi pemain mereka yang didapati bersalah.

Selepas kejadian itu, Worawut yang berusia 22 tahun membuat permohonan maaf dan berjanji bahawa beliau tidak akan minum lagi.

Beliau sebelum ini dilihat mempunyai masa depan yang baik apabila diberi peluang menjadi penjaga gol utama kerana kecederaan penjaga gol pertama Chonburi, Chanin Sae-ear.

Beliau bermain enam perlawanan dan bolos empat perlawanan serta mencatatkan dua clean sheet, membantu pasukan berada di tangga ketiga liga.

Namun, nasi sudah menjadi bubur dan kariernya dilihat sudah sampai ke penghujung kerana beliau akan berdepan tindakan undang-undang.

Insiden ini harus dijadikan pengajaran oleh pemain bola sepak tempatan untuk menjaga disiplin dan tidak melakukan sesuatu yang boleh membunuh karier mereka.

Disiplin adalah perkara utama dalam bola sepak dan kesalahan seperti ini mampu mengubah nasib seorang pemain dalam sekelip mata.

Sebelum ini juga, arena bola sepak tempatan pernah dikejutkan dengan kes rogol serta dadah melibatkan pemain tempatan.

Karier pemain bola sepak selalunya tidak panjang, justeru pemain harus mengelakkan daripada membuat sesuatu perkara yang boleh memendekkan lagi karier mereka.