Norhafiz Zamani ingin pelatih AMD gunakan pengalaman di Piala Supermokh sebagai persediaan masa depan

488

Pembantu jurulatih AMD Panthers B14, Norhafiz Zamani Misbah berharap agar para pemain muda yang dimilikinya ketika ini dapat memanfaatkan peluang beraksi di Piala Supermokh tahun ini sebagai pentas untuk mereka mendapatkan pengalaman.

Selain ingin membawa pasukan melangkah dengan lebih jauh, Norhafiz turut teruja dengan cabaran yang akan dihadapi oleh para pemainnya pada setiap perlawanan.


Tambahan pula, kejohanan tersebut disertai oleh beberapa kelab luar dari negara seperti Perancis, Croatia, Vietnam dan Indonesia.

“Harapan semestinya untuk pasukan menang dan melihat pemain dapat bermain dengan baik.

Apa yang penting adalah pendedahan untuk B14 supaya pengalaman ini untuk masa depan mereka, kalau boleh kita nak bertemu dengan lawan seperti PSG,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada perlawanan hari ini (27 Oktober), Norhafiz serta barisan kejurulatihan yang lain berjaya merangka strategi terbaik dalam kejayaan membelasah wakil Thailand, Chonburi FC B14 dengan kemenangan besar 4-0.

Meskipun pasukan lawan dilihat lebih mendominasi perlawanan, pasukan AMD Panthers berjaya gunakan peluang terhidang dengan sebaiknya untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Pertama sekali, kemenangan yang kedua dan saya perlu memberi pujian kepada pemain kerana memberikan yang terbaik walaupun beraksi dua hari berturut-turut.

Setakat ini, perancangan daripada jurulatih dilaksanakan oleh para pemain, tetapi masih ada beberapa kesilapan mudah yang perlu diperbaiki untuk bertemu dengan pasukan yang lebih bersedia.”

Para pemain AMD Panthers bijak menggunakan kelekaan barisan pertahanan lawan untuk membuat larian-larian merbahaya yang secara tidak langsung berjaya diterjemahkan kepada jaringan.

Hal ini turut diakui oleh ketua pasukan, Aisy Aqasha yang melihat kelemahan pertahanan lawan sebagai antara penyebab kemenangan pada hari ini.

“Perlawanan tadi kami banyak guna counter-attack untuk dapatkan gol kerana pertahanan mereka tidak terlalu tersusun.

Kami gunakan peluang tersebut untuk dapatkan gol.”

Beliau juga memasang tekad bersama-sama dengan rakan sepasukannya untuk terus memberikan aksi terbaik pada baki perlawanan yang perli dihadapi selepas ini.

“Jurulatih memang garang, jadi saya perlu memberi semangat kepada pemain untuk terus memberikan yang terbaik.

Kami akan berikan fokus kepada perlawanan seterusnya, kami akan beri 200% untuk menang.