Alister Yoong ikut jejak bapa dalam sukan permotoran, wakili Malaysia di FIA Motorsports Games
Mungkin masih ramai yang mengingat nama Alex Yoong yang merupakan pelumba Fomula 1 pertama dari Malaysia pada tahun 2001.
Walaupun kariernya dalam Formula 1 tidak lama, beliau tetap menjadi kebanggan negara kerana tidak ramai pelumba dari Asia Tenggara dapat mengembangkan karier sehingga ke Formula 1.
Darah pelumba yang dimiliki oleh beliau nampaknya turut mengalir di badan anaknya, Alister Yoong yang bakal mewakili Malaysia dalam FIA Motorsports Games di Marseille, Perancis hujung minggu ini.
Kejohanan yang dianggap Olimpik bagi sukan permotoran itu menyaksikan Alister akan bertanding dalam kategori Formula 4 dengan 23 lagi pelumba lain yang mewakili negara masing-masing.
Beliau juga merupakan satu-satunya wakil daripada Asia Tenggara, dan antara empat wakil Asia di samping pelumba dari Chinese Taipei, India dan Korea Selatan.
Seperti kata pepatah ‘ bapa borek anak rintik’, mungkin selepas ini Alister perlahan-lahan mampu naik ke atas sehingga ke Formula 1.
Walaupun sudah lama bersara, Alex nampaknya berjaya ‘memindahkan’ ilmu dan skil berlumba kepada anaknya untuk mengikuti jejak langkah beliau.
Perjalanan Alister mungkin masih jauh lagi tetapi diharapkan beliau mampu menjadi pelumba kedua dari Malaysia yang berjaya ke pentas Formula 1.