Faisal Halim beri petanda musim terakhir bersama Terengganu FC, bakal rindukan peminat Sang Penyu

3,987

Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim seperti memberikan petanda bahawa beliau akan meninggalkan pasukan tidak lama lagi.

Terdahulu, difahamkan pemain yang berjaya mempamerkan aksi memukau tersebut telah menerima beberapa tawaran daripada kelab-kelab gergasi Liga Super.


“Sudah tentu saya menghargai mereka dan saya akan merindui mereka.

Itu yang saya boleh cakap, saya memang akan merindui penyokong Terengganu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, sehingga ke hari ini beliau dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain masih belum menerima sebarang tawaran lanjutan kontrak untuk kekal bersama pasukan sekurang-kurangnya sehingga musim hadapan.

Kelincahan dan kecemerlangan Faisal di bahagian sayap pasukan berjaya membantu Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua sekaligus memperoleh slot automatik ke saingan Piala AFC musim hadapan.

“Apa yang saya boleh katakan ini adalah keputusan daripada persatuan, kita bermain sepanjang musim takkan sebulan sebelum tamat kontrak baru nak buat keputusan.

Jujur saya cakap, saya kecewa kalau saya terpaksa berpisah dengan Coach Nafuzi tapi ini adalah bola sepak, saya kena teruskan perjuangan.”

Dalam pada itu, Faisal berjaya menjadi watak penting kepada kejayaan pasukan Terengganu yang berjaya menewaskan Sri Pahang 5-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 di dalam saingan Piala Malaysia tahun ini.

Semestinya, aksi bertenaga yang sama akan terus ditagih menjelang aksi timbal balik yang akan berlangsung pada 1 November ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Saya harap dan berdoa keputuan ini dapat dikekalkan di Terengganu untuk layak ke pusingan seterusnya.

Kita letak sasaran untuk pergi sejauh mungkin di Piala Malaysia, apa yang penting semua pemain berusaha dapatkan satu piala untuk para peminat Terengganu.”

Pada masa yang sama, Faisal baru sahaja memperkenalkan perniagaan sambal beliau yang baru dirasmikan beberapa hari lepas.

Perniagaan tersebut diberi nama sebagai Sambal Bilis Siuuuuuuu by Mickey7 dan mengeluarkan dua pilihan produk buat masa ini.

“Saya sebenarnya memang dari kecil sudah minat berniaga, itulah salah satu faktor utama.

Bisnes ini bukan untuk saya kaya dan sebagainya, ia untuk saya beramah mesra dengan peminat yang sentiasa sokong saya.”