Dato’ Dollah Salleh hilang kata-kata, kecewa dengan prestasi pemain pertahanan Sri Pahang

568

Ketua jurulatih Sri Pahang, Dato’ Dollah Salleh tidak dapat berselindung daripada kekecewaan beliau terhadap prestasi anak buahnya pada perlawanan pertama pusingan 16 bertemu Terengganu FC di Stadium Darul Makmur.

Kegagalan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan ini menyebabkan mereka mudah diatasi oleh pihak lawan dengan jaringan besar, 5-1.


“Memang hari ini serba tidak menjadi, dari minit awal kita melepaskan gol dan ini adalah kesilapan besar daripada kami.

Malam ini bahagian pertahanan begitu longgar, saya seakan tidak percaya perkara ini berlaku begitu sekali,”

katanya.

Dollah tampak seakan tidak percaya dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain yang diturunkan pada aksi ini.

Bahagian pertahanan bakal menjadi salah satu elemen yang perlu segera dipertingkatkan oleh beliau serta barisan kejurulatihan yang lain bagi mengelakkan kejadian dimalukan sebegini tidak akan berulang dalam aksi timbal balik pada 1 November ini.

“Kita tidak tahu mengapa para pemain gagal menampung serangan daripada Terengganu, situasi satu lawan satu begitu mudah dipotong oleh pihak lawan.

Ini adalah salah satu perkara yang ketara di dalam pasukan.”

Meskipun kecewa, Dollah tetap memasang tekad untuk kembali bangkit pada perlawanan kedua selepas ini.

Beliau percaya sesuatu dapat dilakukan bagi memulihkan semula maruah skuad Tok Gajah yang tercalar hasil daripada kekalahan besar di halaman sendiri.

“Kita kena main jugalah, kita ada 90 minit dan dalam bola sepak kita percaya macam-macam boleh berlaku.

Saya harap kita boleh lakukan sesuatu, saya tidak tahu mengapa pertahanan kita yang mudah ditembusi oleh pasukan Terengganu.”

Pada masa yang sama, Dollah juga gembira dengan kemasukan dua naturalisasi terbaru pasukan, Lee Tuck dan Sergio Aguero yang dimasukkan pada separuh masa kedua.

Selepas sekian lama tidak beraksi, kedua-dua pemain ini berjaya mempamerkan aksi menyakinkan walaupun gagal membantu pasukan meraih kemenangan.

“Saya nampak kedua-dua mereka boleh diserapkan ke dalam kesebelasan utama.

Kita tidak boleh menukar pasukan dengan drastik, disebabkan itu kita kekalkan pemain yang sebelum ini beraksi ketika menang dengan Negeri Sembilan.”