Jangan mimpi nak main di ACL jika Liga Malaysia masih di takuk lama

3,786

Tidak dapat dinafikan tahun 2022 adalah tahun yang cukup cemerlang buat bola sepak Malaysia apabila bukan sahaja skuad Harimau Malaya berjaya layak ke Piala Asia 2023, kelab Liga Malaysia juga berjaya mencipta sejarah di pentas Asia.

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan 16 AFC Champions League (ACL), Kedah Darul Aman FC (KDA) layak ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC dan KL City FC berjaya muncul naib johan Piala AFC telah menyaksikan ranking Liga Malaysia naik mendadak.


Ketika ini Liga Malaysia adalah liga No.1 di Asia Tenggara dan No. 8 di Asia sekaligus menyaksikan Malaysia akan mendapat slot 2+2 untuk kejohanan ACL pada musim 2024.

Bagaimanapun kegembiraan peminat bola sepak tempatan mungkin terbantut apabila terdapat laporan yang mengatakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan menukar format kejohanan berprestij Asia itu.

Perkara itu didedahkan oleh wartawan sukan Martin Lowe yang mengatakan format 40 pasukan yang diguna ketika ini akan dirombak semula dengan mengurangkan jumlah pasukan kepada 24 kelab ‘elit’ sahaja.

Jika format baru ini diguna pakai, maka peluang untuk menyaksikan pasukan dari Liga Malaysia yang ketika ini diwakili oleh JDT mungkin terpaksa kembali beraksi dalam saingan Piala AFC.

Mungkin ramai yang akan berkata mengapa JDT tidak akan mendapat slot ke ACL sedangkan Liga Malaysia No.1 di Asia Tenggara ketika ini, namun peminat perlu terima hakikat bahawa ranking liga tempatan naik dek sumbangan JDT, KL City dan KDA sahaja dengan JDT penyumbang terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jadi secara realitinya Liga Malaysia masih lagi belum cukup kompetitif jika hendak dibandingkan dengan Thai League 1, jadi ranking ketika ini tidak boleh diguna pakai berikutan AFC juga dikatakan akan memperkenalkan sistem ranking baru.

Dijangka Arab Saudi, Jepun, Korea Selatan, Qatar, Iran dan China akan mendapat tiga slot, manakala Australia, UAE dan Thailand pula akan mendapat dua slot.

Pasti ramai akan mempersoalkan mengapa pasukan dari Thailand akan mendapat slot sedangkan liga mereka berada di bawah Liga Malaysia?

Jawapannya cukup mudah iaitu kualiti Liga Malaysia masih jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan kualiti di Thai League 1.

Antara contoh yang membuktikan liga Thailand lebih berkualiti adalah setiap musim tiada siapa tahu kelab manakah yang akan menjulang kejuaraan liga kerana mereka mempunyai lebih lima pasukan yang mampu jadi juara liga sedangkan di Liga Malaysia ia didominasi oleh JDT yang telah menjadi juara Liga Super sembilan kali berturut-turut.

Perbezaan kualiti JDT dengan pasukan lain di liga dapat dilihat dengan begitu ketara sekali, oleh itu kejayaan satu atau dua pasukan tidak menggambarkan keseluruhan kualiti sesebuah liga itu.

Liga di Thailand juga sudah lama menggunakan teknologi VAR (video assistant referee) dengan beberapa liga di negara jiran lain seperti Vietnam, Singapura dan Indonesia juga sudah ada perancangan memperkenalkan teknologi tersebut dalam saingan liga masing-masing, sedangkan Liga Malaysia masih belum serius untuk menggunakan VAR.

Selain itu, Thai League 1 juga mempunyai rekod yang agak baik di ACL dengan beberapa pasukan dari liga itu pernah beraksi dalam saingan tersebut, manakala di Liga Malaysia hanya JDT sahaja.

Kesimpulannya, liga di Thailand boleh dikatakan menepati hampir kesemua kriteria yang ditetapkan oleh AFC, manakala liga tempatan pula masih lagi jauh ketinggalan dalam menepati kriteria yang telah ditetapkan badan induk bola sepak itu.

Oleh itu, pengelola Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari jalan untuk meningkatkan kualiti liga tanah air termasuk memastikan tiada masalah besar berlaku terutamanya masalah membabitkan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Dalam pada itu, selain rombakan ACL, Piala AFC juga berkemungkinan besar akan dirombak semula dengan kejohanan itu tidak lagi akan menggunakan format zon seperti ketika ini, sebaliknya terbuka.

Ia satu keputusan yang disambut baik tetapi ia akan menimbulkan masalah logistik buat kelab kerdil sekiranya terpaksa bermain di negara Asia Barat kerana kos yang tinggi.

Selain ACL dan Piala AFC, AFC juga dikatakan akan memperkenalkan kejohanan ketiga yang mungkin akan menggunakan nama AFC Conference League yang akan memberi peluang kepada lebih banyak kelab dapat beraksi di pentas Asia.

Banyak lagi perubahan yang bakal dilakukan AFC dalam misi untuk meningkatkan kualiti bola sepak di Asia ini termasuk memansuhkan kuota pemain import.

Bagaimanapun AFC masih lagi belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut, namun dijangka akan berbuat demikian tidak lama lagi.