Bekas jurulatih pembangunan akar umbi negara mahu kembali ke Malaysia, tugasan di peringkat kelab dilihat lebih sesuai

3,606

Bekas jurulatih yang terlibat dalam pembangunan akar umbi bola sepak negara bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Luiz Antonio Nizzo dilaporkan berminat untuk kembali ke negara ini.

Menurut laporan The Star, beliau dilaporkan bersedia untuk bekerja sama ada di peringkat kelab atau skuad kebangsaan, tidak kisah sebagai ketua jurulatih atau di peringkat pembangunan dan pencari bakat.


Pengalaman yang dimilikinya tidak boleh dipertikaikan lagi kerana pernah melahirkan bakat-bakat terkemuka Brazil seperti Neymar, Coutinho, Alisson dan Casemiro.

Mungkin beliau merasakan bahawa beliau mempunyai tugasan yang masih belum tamat di Malaysia kerana hanya sempat berkhidmat dengan FAM beberapa bulan sebelum menerima tawaran dari Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF).

Buat masa ini, semua jawatan di FAM dari skuad utama hingga pasukan bawah umur sudah terisi jadi mungkin sukar baginya untuk bekerja semula dengan badan itu.

Jawatan di peringkat kelab adalah lebih realistik memandangkan terdapat beberapa kelab yang ketika ini sedang mencari jurulatih baru atau dilaporkan akan berpisah dengan jurulatih sedia ada.

Ketika ini, kelab yang dilihat sesuai menggaji jurulatih berusia 59 tahun itu adalah Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC.

Kedah ketika ini sedang dibimbing oleh penolong ketua jurulatih, Victor Andrag yang diangkat menjadi ketua jurulatih interim.

Manakala Sri Pahang pula melantik Datuk Dollah Salleh sebagai jurulatih Interim setelah berpisah dengan Christophe Gamel.

Dengan pengalaman yang dimiliki Nizzo bersama CBF, beliau pasti mampu menjalankan tugas yang baik sekiranya diberi peluang.

Tetapi mungkin juga beliau boleh diberi peluang dalam pembangunan akar umbi berdasarkan rekod baiknya melahirkan ramai bintang bertaraf dunia.

Namun, bukan beliau sahaja yang menyuarakan hasrat untuk kembali ke Malaysia, abangnya iaitu Joao Paulo yang juga pernah berkhidmat untuk FAM bersama skuad B-18 dan B-17 negara turut sama berminat untuk kembali.

Mungkin kedua-duanya boleh bekerjasama dalam satu pasukan seperti ketika mereka bekerja membangunkan akar umbi negara sebelum ini.

Dengan persefahaman yang baik antara kedua-dua jurulatih tersebut, ia boleh memberi manfaat kepada pasukan yang mampu mendapatkan khidmat mereka.