Tiada wakil negara layak ke suku akhir di Kejohanan Badminton Remaja Dunia, kedudukan Misbun Sidek dalam tekanan

1,026

Malaysia menamatkan saingan di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Santander, Sepanyol dengan hampa selepas kesemua wakil negara tersingkir awal.

Kesemua wakil negara iaitu Justin Hoh dan Eogene Ewe (perseorangan lelaki), Bryan Jeremy Goonting-Choi Jian Sheng (beregu lelaki) dan Bryan-Lee Xin Jie (beregu campuran).


Ini merupakan rekod terburuk negara pada kejohanan tersebut sejak ia diwujudkan pada tahun 1992.

Ini pastinya perlu diberi perhatian oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana pemain-pemain ini adalah pelapis di masa hadapan.

Dengan kegagalan ini, masa depan Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek mungkin berada dalam bahaya.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh sebelum ini pernah menggesa Misbun untuk meningkatkan usaha selepas tiada wakil negara yang layak ke perlawanan akhir Malaysia Junior International Series B-19 bulan lalu.

Dengan kegagalan di Kejohanan Badminton Remaja Dunia, kedudukannya pasti semakin tertekan.

Walaubagaimanapun, kesalahan tidak sepatutnya diletakkan di bahu Misbun semata-mata kerana beliau pastinya sudah melakukan yang terbaik untuk menyediakan para pemain menghadapi kejohanan itu.

Tambahan pula, jika dilihat prestasi yang ditampilkan oleh skuad senior yang dibimbing oleh Wong Choong Hann, tidaklah begitu memberangsangkan.

Namun tiada pula tekanan yang diletakkan terhadapnya seperti yang dikenakan terhadap Misbun.

Walaupun prestasi skuad muda pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia agak mengecewakan, kredibiliti Misbun tidak boleh dipertikaikan lagi.

Lihat sahaja karier cemerlang Datuk Lee Chong Wei yang dibimbing oleh Misbun, ia membuktikan bahawa pemain boleh berjaya di bawah bimbingan beliau sekiranya mampu mengikuti tunjuk ajar beliau.