Potential player akan bantu realisasikan impian ke Piala Dunia satu hari nanti – Pembantu jurulatih AMD Cougars B13
Semakin banyak pemain-pemain muda berkualiti dapat dihasilkan oleh Malaysia pada ketika ini selepas penubuhan lebih banyak pusat pembangunan bola sepak seperti Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).
AMD semestinya terkenal dengan usaha yang dijalankan oleh mereka dalam menyokong proses pembangunan pemain muda dalam jangka masa yang panjang.
Perkara ini turut dikongsikan oleh pembantu jurulatih AMD Cougars B13, Abdul Rahim tentang kategori-kategori pemain muda yang sering dipantau oleh pihak akademi ketika ini.
“Kita ada dua kategori pemain, performance dan potential.
Performance adalah untuk pemain yang cemerlang dalam jangka masa pendek manakala potential akan menyerlah untuk jangka masa yang lebih panjang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sebagai akademi bola sepak induk di Malaysia, AMD seharusnya mencari jalan dalam merencana pelan jangka masa panjang yang mampu menjulang nama negara ke peringkat yang lebih tinggi.
Salah satu daripanya adalah dengan menyediakan program latihan sistematik dan teratur kepada pemain yang berpotensi besar untuk terus mengembangkan kemampuan mereka lebih lama.
Kejayaan menghasilkan lebih ramai pemain muda yang konsisten akan membantu usaha kita dalam melayakkan diri ke kejohanan berprestij seperti Piala Asia dan Piala Dunia.
“Sasaran kita adalah untuk layak ke Piala Dunia suatu hari nanti dan inilah manfaat memiliki potential players.
Scouting kita dah kenalpasti pemain yang ada potensi untuk masa depan dan tempatkan ke sini untuk kita capai sasaran ke Piala Dunia tidak kira untuk B17 dan sebagainya.”
AMD Cougars B13 kini sedang bertungkus lumus bersaing di kejohanan Piala Supermokh yang bermula minggu ini.
Pengalaman bertemu dengan beberapa pasukan luar negara berjaya menyediakan platform buat para pemain untuk terus mempertingkatkan kemampuan mereka untuk beraksi dengan lebih baik di atas padang.
“Untuk kejohanan Piala Supermokh, saya pasti pemain dapat timba banyak ilmu.
Perlawanan pertama dan kedua bertemu dengan pasukan yang memiliki kelebihan fizikal, berbeza dengan pemain saya yang sedikit kecil.”
Tambahan pula, pengalaman serta peluang bermain ini akan menjadi proses pembelajaran terbaik kepada para pemain untuk terus mengenalpasti kekurangan yang perlu diperbaiki di masa hadapan.
“Ini adalah prosesnya, mereka bermain dan melakukan kesilapan.
Dari semasa ke semasa mereka belajar, pengalaman dan pembelajaran itu akan membantu mereka cemerlang di masa depan.”
Terdahulu, Rahim merupakan salah seorang jurulatih yang telah membawa beberapa pemain AMD untuk melakukan Jelajah di sekitar Belanda.
Mereka telah bertemu dengan beberapa akademi besar seperti FC Twente dan FC Utrecht serta berjaya melakukan kejutan selepas menang tipis 4-3 ke atas pasukan muda Ajax Amsterdam.
Rahim anggap kejayaan tersebut sebagai pembakar semangat terbaik kepada pemain-pemain muda ini untuk terus membuktikan kemampuan mereka.
“Walaupun menang, tapi pembelajaran itu sangat penting untuk pemain di umur sebegini bagi menyokong pembangunan mereka.”
Pada masa yang sama, Rahim juga gembira dengan peluang yang dimilikinya sebagai jurulatih muda untuk membuktikan kredibiliti dalam membimbing pasukan muda.
Dengan adanya peluang sebegini, tidak mustahil selepas ini akan lahir lebih ramai jurulatih-jurulatih yang memiliki kemampuan luar biasa dalam membimbing pasukan di Malaysia.
“Saya harus beri kredit kepada Majlis Sukan Negara, AMD dan NFDP kerana telah memberi peluang kepada kami sebagai jurulatih muda untuk belajar.
Jurulatih-jurulatih muda ini lebih cepat belajar, ia akan membantu dalam pembangunan bola sepak negara.”