AMD tidak akan kehausan pemain, jadi justifikasi untuk lebihkan pemain tempatan berbanding naturalisasi – Dato Richard Scully

450

Pembimbing Jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP), Dato Richard Scully yakin dengan kemampuan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) untuk terus jadi ‘kilang pengeluar’ pemain muda tempatan yang berbakat.

Hal ini berdasarkan pelbagai inisiatif serta usaha yang telah rancak dilakukan sejak penubuhan akademi ini pada tahun 2014.


“Kita ada keputusan yang terbukti dari segi pemain yang keluar dari sini dan sedang beraksi di Liga Super dan sebagainya.

Kilang ini memang tidak akan kehausan pemain dan akan bersilih ganti, kesinambungan di sini tidak akan putus dengan falsafah yang sama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ini bertepatan dengan matlamat asal AMD untuk melahirkan lebih banyak kelompok pemain berpotensi.

Pemain berpotensi adalah golongan individu yang boleh beraksi dengan baik untuk jangka masa panjang dan bukan sekadar ‘one hit wonder’ semata-mata untuk capai kejayaan segera.

“Di sini, kita ingin melahirkan pemain berpotensi bukan prestasi yang hanya untuk menang.

Potensi adalah untuk mengasah individu supaya bersedia bergerak ke persada yang lebih besar, graduan untuk keluar ke pasaran yang lebih besar.”

Dalam pada itu, Richard komited untuk terus melihat program-program yang dikelolakan oleh NFDP termasuk AMD bergerak maju ke hadapan meskipun akan ada pertukaran di bahagian pengurusan selepas ini.

Terdahulu, Pengarah AMD, Dennis Bekking menjadi salah seorang individu yang bakal meninggalkan jawatan beliau selepas dilantik menjadi Pengarah Teknikal Selangor FC pada musim hadapan.

“Kalau ada sesiapa yang datang untuk mengubah falsafah harus lebih tinggi daripada yang sedia ada.

Jangan bawa kita tiga langkah ke belakang selepas berjaya mengorak satu langkah ke depan, jangan bawa second class atau third class.

Pada masa yang sama, beliau nyata gembira dengan kemeriahan Piala Supermokh yang berjaya dianjurkan tahun ini selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan ekoran penularan wabak COVID-19.

Kehadiran akademi-akademi ternama dunia seperti Paris Saint Germain dan Cerezo Osaka nyata menambahkan kerancakan saingan serta memberikan peluang kepada para pemain negara untuk menimba pengalaman.

“Ini adalah suatu platform yang baik kepada para remaja untuk belajar antara satu sama lain, ia merupakan satu tambah nilai dengan kehadiran pasukan-pasukan ternama yang dijemput.

Pemain-pemain harus mengambil seberapa banyak ilmu daripada pasukan seperti PSG, Chonburi dan sebagainya yang mempunyai latar belakang tersendiri, ini adalah peluang terbaik.”

Pengalaman berharga seperti inilah yang akan membantu mempercepatkan lagi proses kematangan pemain muda.

Pemain-pemain inilah yang akan menjadi sandaran utama untuk terus menjulang nama negara selepas ini di persada dunia.

“Hasil akhir akan kembali ke negara juga, penyumbang kepada Kim Pan-gon dan adakah kita akan biarkan naturalisasi mendominasi semata-mata.

Di sini kita akan buat justifikasi kerana pemain di akademi ini akan mengemudi pasukan kebangsaan.”