Jurulatih PSG percaya pemain muda Malaysia miliki kualiti untuk beraksi di Eropah

1,152

Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) B14, Bafode Diakhaby yakin dengan kemampuan pemain-pemain muda Malaysia untuk terus bersinar suatu hari nanti dengan kualiti yang dimiliki oleh mereka pada ketika ini.

Beliau menganggap kesungguhan serta komitmen yang dimiliki oleh seseorang pemain akan menjadi faktor utama yang bakal membantu mereka untuk terus cemerlang di dalam arena bola sepak.


“Sudah semestinya, kualiti tidak bergantung kepada kewarganegaraan seseorang pemain.

Jika anda mempunyai kualiti, anda boleh bermain jadi anda perlu bekerja keras dan percaya ia akan menjadi kenyataan pada satu hari nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau juga melihat lebih banyak kejayaan bakal diraih oleh pemain-pemain muda di negara ini selepas ini tatkala usaha membangunkan bola sepak negara baru sahaja dilakukan secara menyeluruh.

Jelas berbeza dengan program pembangunan yang telah sekian lama menapak secara serius di negara Eropah terutamanya di Perancis, England, Sepanyol dan sebagainya.

“Sukar untuk saya melihat kerana saya rasa di Malaysia ia adalah sebuah projek yang baru.

Saya gembira berada di sini dan dapat melihat beberapa pemain yang berkebolehan, saya rasa di masa depan ia akan bertambah baik.”

Terdahulu, Diakhaby berjaya membimbing pasukannya untuk meneruskan rentak kecemerlangan di dalam saingan Piala Supermokh B14 selepas mudah menewaskan pasukan AMD Cougars B14 dengan kemenangan besar, 6-0.

Pemain-pemain PSG dilihat lebih mendominasi perlawanan seawal wisel pertama dibunyikan ditambah dengan beberapa gerakan merbahaya yang berjaya menembusi kekebalan barisan pertahanan pasukan Malaysia.

“Ia adalah sebuah kemenangan yang baik, kami menikmati perlawanan ini dan bermain dengan filosofi kami.

Ia sukar kerana di Perancis kami bermain dengan cuaca yang baik, ia adalah cabaran kepada pemain untuk beraksi di dalam suasana yang lain.”

Dengan prestasi memberansangkan setakat ini, beliau percaya sasaran untuk merangkul kejuaraan pada kejohanan ini mampu dicapai.

PSG kini selesa mendahului saingan Kumpulan B selepas berjaya mencatatkan empat kemenangan selepas empat perlawanan di peringkat awal.

“Harapan saya adalah untuk memenangi kejohanan ini.

Mereka mahu bermain bola dan menang, jadi bila kamu di PSG, kamu akan bermain untuk menang jadi ia memudahkan saya sebagai seorang jurulatih.”