Juzaili Samion harap pemain muda manfaat peluang ke luar negara yang semakin terbuka

355

Bekas pemain negara, Juzaili Samion akui gembira dengan peluang yang terus terhidang buat pemain muda dari Malaysia untuk berkelana menimba pengalaman di luar negara. 

Juzaili pernah menggegarkan bola sepak negara selepas beliau berjaya mendapat tempat bersama pasukan di Perancis, FCSR Haguenau bersama seorang lagi legenda negara, Akmal Rizal.


“Saya melihat peluang untuk pemain muda negara beraksi di luar semakin terbuka ketika ini.

Cumanya, pemain yang mendapat peluang perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin kerana ia bukan senang dan tidak boleh dipandang rendah.”

Pada masa yang sama, beliau yang kini aktif mengendalikan bola sepak akar umbi bersama Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) gembira dengan perkembangan pemain muda di Malaysia ketika ini.

Juzaili juga berharap agar keadaan ini dapat terus diteruskan dengan baik selepas ini menerusi pengenalan program-program jangka masa panjang yang dapat memastikan kesinambungan usaha yang giat dijalankan ketika ini tidak terkubur begitu sahaja.

“Satu keadaan yang cukup bagus kerana kita perlukan perkara sebegini untuk tingkatkan bola sepak negara.

Ia adalah sebuah tujuan baik untuk bola sepak akar umbi dan tidak dapat dinafikan kita memerlukan lebih banyak kejohanan di peringkat muda.”

Beliau teruja dengan penganjuran Piala Supermokh tahun ini yang berjaya menarik penyertaan beberapa akdemi ternama seperti Paris Saint-Germain (PSG).

Pengalaman menentang pasukan berkualiti seperti ini semestinya menjadi medan perkembangan potensi terbaik untuk para pemain muda negara terus cemerlang di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

“Kejohanan ini membantu pemain untuk menimba pengalaman menentang pasukan dari Eropah seperti PSG.

Harapnya akan ada lebih banyak kejohanan seperti ini untuk pemain timba pengalaman secukupnya.”

Selepas melalui perjalanan karier yang gemilang selaku pemain, Juzaili memasang impian untuk terus menabur bakti dalam melahirkan kelompok pemain-pemain muda yang mampu bersaing di tahap terbaik.

Pengalamannya beraksi di luar negara akan menjadi aset terbaik dalam berkongsi ilmu dan menjadi motivasi kepada pemain di bawah bimbingannya untuk mencapai tahap yang serupa.

“Saya harap saya dapat membantu dengan pengalaman yang ada dalam usaha ketengahkan bakat di peringkat akar umbi.

Saya akan cuba pikul tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya.”