Stadium Nasional Bukit Jalil sah jadi gelanggang keramat Harimau Malaya hadapi Piala AFF

441

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai gelanggang rasmi skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF tahun ini.

Perkara ini dikongsikan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.


Antara perlawanan Piala AFF yang akan berlangsung di Bukit Jalii adalah aksi Malaysia menentang Laos pada 24 Disember ini serta pertemuan dengan Singapura 3 Januari kelak.

Sekiranya pasukan negara cemerlang dan berjaya layak ke peringkat separuh akhir, SNBJ akan turut dijadikan sebagai gelanggang pada perlawanan tersebut.

Seandainya Malaysia ke perlawanan akhir, FAM akan melakukan pengumuman lanjut mengenai stadium yang bakal menjadi hos aksi final.

Selain daripada Piala AFF, aksi persababatan menentang pasukan Kemboja yang dijadual pada 9 Disember ini juga akan diadakan di stadium tersebut.

Manakala, sebuah lagi perlawanan persahabatan bertemu Maldives pada 14 Disember akan diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kedua-dua persahabatan ini bertujuan untuk menjadi salah satu medan persiapan buat anak buah Kim Pan-gon bagi menghadapi saingan Piala AFF dan seterusnya ke Piala Asia.

Pemilihan SNBJ mungkin menjadi pilihan yang terbaik tatkala ia telah sekian lama menjadi gelanggang keramat buat pasukan Harimau Malaya.

Namun, pihak FAM dengan kerjasama Persatuan Stadium Malaysia (PSM) serta lain-lain badan berkaitan perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu padang seperti saliran air yang sering menjadi topik utama.

Cuaca tidak menentu semestinya menjadi cabaran utama, tempoh berbaki ini perlu digunakan sebaiknya oleh pihak bertanggungjawab dalam menyediakan inisiatif bagi membendung perkara buruk yang pernah berlaku semasa pusingan kelayakan Piala Asia sebelum ini terjadi sekali lagi.

Semoga pemilihan SNBJ sebagai venue perlawanan akan berjaya menarik kehadiran penyokong untuk sama-sama membanjiri stadium untuk melaungkan sorakan semangat.

Kehadiran penyokong ramai akan menjadi pembakar semangat kepada para pemain negara untuk lakukan yang terbaik bagi menebus kehampaan pada edisi Piala AFF yang lalu.

Malaysia mengharungi kempen Piala AFF yang cukup mengecewakan pada tahun 2020 selepas mereka terkandas seawal peringkat kumpulan.

Berdasarkan prestasi semasa, pasukan Malaysia mampu untuk lakukan kejutan melangkah ke peringkat yang jauh lebih tinggi dan tidak mustahil untuk mereka menjadi juara.