Kehadiran JDT ada dua kesan untuk futsal Malaysia, dominasi mungkin bahayakan sukan kecil

1,414

Ketua jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas mempunyai pendapat sendiri terhadap berita tentang gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta’zim FC yang bakal memperkenalkan pasukan futsal bagi saingan musim hadapan.

Beliau menganggap pasukan yang terkenal dengan perbelanjaan besar seperti JDT akan memberi sedikit risiko kepada sukan dan liga yang tidak begitu besar seperti futsal di Malaysia.


“Saya perlu katakan perkara ini mungkin merbahaya untuk pelan jangka masa pendek dan panjang untuk futsal di Malaysia.

Kerana ini bukan bola sepak, futsal adalah sukan kecil dan bila ada pasukan yang memenangi semuanya, pasukan lain akan hanya mengalah dan menyebabkan liga kurang menarik.”

Namun, Casas juga percaya dengan adanya pengurusan pasukan bereputaso tinggi seperti JDT, sediki sebanyak akan membantu mengangkat kedudukan futsal di negara selepas ini.

Sudah pasti, JDT akan menjadi tumpuan utama para peminat futsal Malaysia selepas ini selain Pahang Rangers dan Selangor MAC.

“Sisi positif adalah sebuah kuasa besar menyertai sukan futsal, mereka akan lakukan banyak perkara yang lebih baik termasuk menggesa FAM untuk adakan liga profesional.

Mereka juga akan melabur banyak duit untuk membawa masuk nama besar, orang akan tertarik dengan saingan liga, penaja akan tertarik dengan perkara tersebut.”

Pada masa yang sama, Casas yang mengampiri tahun ketiga di Malaysia berharap agar suatu penambahan akan dapat dilakukan selepas ini oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam meningkatkan kualiti saingan liga tempatan.

Ini termasuk mempertimbangkan semula tempoh liga yang sekadar berlangsung untuk lapan minggu sahaja dan tidak seperti liga-liga ternama di serata dunia.

“Saya rasa futsal di Malaysia memerlukan liga yang lebih panjang, kita tidak boleh membiarkan pemain bersaing untuk hanya dua bulan setahun.

Anda boleh lakukan perkara tersebut tetapi tidak boleh harapkan mereka untuk bersedia bagi tugasan kebangsaan, liga patut sekurang-kurangnya, 7-8 bulan.”

Tambahnya lagi, beliau ingin melihat futsal di Malaysia terus berkembang dan berkembang selepas ini.

Promosi futsal perlu bermula di peringkat akar umbi bagi memastikan perkembangan yang lebih baik dalam melahirkan pemain-pemain berkualiti tinggi untuk menggalas cabaran negara di masa hadapan.

“Malaysia memerlukan pembangunan akar umbi, Malaysia memiliki fan base dan jumlah pemain yang besar.

Tetapi, tiada akademi atau kejohanan yang diadakan dan itu adalah salah satu benda yang kurang di Malaysia, saya tahu benda itu akan berlaku 10 tahun ke depan, tetapi tiada benda yang segera.”