Roney Asmadul Bakar gembira dengan prestasi pemain NFDP Regional di Piala Supermokh 2022

281

Pembantu jurulatih NFDP Regional, Roney Asmadul Bakar akur dengan pencapaian pasukan kendaliannya meskipun tewas di perlawanan separuh akhir kategori Plate.

NFDP Regional kecundang di tangan wakil dari Terengganu, SMK Ibrahim Fikri menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan masa sebenar berakhir dengan keputusan seri1-1.


“Pelatih kita dapat melakukan keputusan sendiri, mereka bermain dengan semangat.

Pasukan kita hanya berkumpul untuk dua tiga hari, tetapi budak-budak dapat melaksanakan segala arahan dengan baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Cuaca menjadi antara halangan utama buat para pemain NFDP Regional selepas pergerakan demi pergerakan yang direncanakan oleh mereka dilihat sedikit terbatas selepas hujan turun dengan begitu lebat sehingga menukar keadaan padang.

Kesukaran mengawal bola menyebabkan mereka gagal merencana peluang dengan baik serta tidak berjaya memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang sepanjang perlawanan.

“Faktor cuaca memainkan peranan, pemain kita bermain dengan baik pada separuh masa pertama sebelum hujan.

Bila hujan mula turun, saya rasa pemain kita sedikit terganggu dengan cuaca pada ketika itu.”

Lebih menyedihkan, beberapa pemain yang diletakkan harapan pada aksi sepakan penalti tidak berjaya menjalankan tugas dengan baik selepas tiga daripada empat sepakan yang sempat diambil gagal menemui jaring.

Namun, Roney berharap pemainnya tidak terkesan dengan perkara tersebut serta menjadikan ia sebagai pengajaran untuk mereka menjadi lebih baik di masa hadapan.

“Penalti bagi saya nasib, pemain terbaik dunia juga kadang-kadang tidak berjaya mengambil sepakan penalti.

Ini adalah proses pembelajaran mereka untuk masa depan.”

Meskipun tidak berjaya mara ke perlawanan akhir, Roney teruja untuk melihat perkembangan anak buahnya selepas ini.

Dengan usia yang masih muda, mereka dilihat mempunyai peluang yang begitu besar untuk terus meningkatkan mutu persembahan mereka selepas ini.

“Semestinya kita mengharapkan pemain ini dapat berkembang pada masa akan datang dengan latihan yang kita persiapkan sebelum mereka bersaing di kejohanan selepas ini.”

Beliau juga gembira dengan peluang yang dimiliki oleh pemain pada penyertaan edisi kali ini sebagai medium untuk mereka timba seberapa banyak pengalaman untuk masa depan.

“Terutama sekali kita dapat memberi peluang kepada para pemain untuk beraksi di kejohanan ini.

Keputusan bukanlah fokus utama di sini tetapi peluang permainan kepada budak-budak adalah fokus utama.”