Osmera Omaro optimis misi ke Piala Dunia, sudah mula rangka perancangan sebaiknya

312

Ketua jurulatih B-17 Malaysia, Osmera Omaro terus memandang ke depan bagi merealisasikan usaha membawa anak buahnya mencapai sasaran untuk layak ke Piala Dunia B-17 selepas ini.

Kejayaan layak ke Piala Asia B-17 tahun hadapan membolehkan mereka untuk bersaing bagi mendapatkan slot layak secara automatik ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Peru.


“Sudah semestinya kita sasarkan untuk layak ke Piala Dunia walaupun ia satu misi yang sukar.

Kita tiada pilihan, itu yang kita kena sasar dan perlu lakukan yang terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, Osmera bersama barisan kejurulatihannya telah mula merangka strategi serta pelan untuk membantu para pemainnya lebih bersedia menghadapi saingan selepas ini.

Kebanyakkan pemain yang dipilih adalah dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), peluang berlatih bersama selama ini akan memberi kelebihan kepada mereka untuk membina keserasian yang baik menjelang kejohanan tersebut yang akan berlangsung pada Mei hadapan.

“Kita sudah membuat pelan yang rapi bersama FAM, AMD dan MSN.

Cuma kita akan memperkemaskan kembali menerusi mesyuarat-mesyuarat yang akan dilakukan selepas ini.”

Pada masa yang sama, beliau yang turut berada di AMD untuk menyaksikan kejohanan Piala Supermokh tahun ini gembira dengan peluang yang dimiliki oleh pemain muda di dalam pertandingan ini.

Beliau percaya bahawa pengalaman serta peluang yang dimiliki oleh para pemain ini akan membolehkan mereka terus mempertingkatkan kemampuan untuk mengembangkan karier bola sepak mereka di masa hadapan.

“Saya juga pernah membimbing pasukan sebanyak empat kali di kejohanan Piala Supermokh ini.

Apa yang penting adalah pemain dapat pendedahan bermain dengan kelab-kelab luar negara seperti PSG, pengalaman yang baik kepada pemain.”

Namun, beliau setakat ini beliau memberi petanda bahawa tidak akan membawa mana-mana pemain yang beraksi daripada kejohanan ini di atas faktor perbezaan umur pemain.

Sekiranya mereka dipilih, ia akan menyebabkan kesukaran untuk bersaing tatkala pasukan lawan memiliki pemain yang lebih berumur.

“Saya rasa tidak mudah juga kerana ada jurang umur yang besar, biasanya dua tahun ini untuk tahap pembangunan agak sukar untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.”