Pearly Tan-M Thinaah bawa harapan baru dalam acara beregu wanita, mampu jadi yang terbaik dengan konsistensi

923

Beregu badminton wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah mencatat sejarah membanggakan di bumi Paris, Perancis semalam apabila menjadi pasangan wanita pertama dari Malaysia yang memenangi kejohanan Terbuka Perancis sejak kali pertama ia dianjurkan pada 1908.

Kejayaan mereka sungguh mengejutkan selepas menewaskan pasangan Jepun yang juga juara dunia sebanyak dua kali iaitu Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dalam perlawanan sengit yang berakhir 21-19, 18-21 21-15.


Ini merupakan kejuaraan ketujuh mereka dan ketiga pada tahun ini selepas turut memenangi dua pingat di Sukan Komanwel dalam acara beregu wanita dan berpasukan campuran.

Kejayaan ini lebih manis selepas segala suka duka yang mereka lalui terutamanya kecederaan hamstring dan lutut kiri yang dialami oleh Pearly ketika Terbuka Jepun bulan lalu.

Pearly pada awalnya dijangka tidak sempat untuk cergas sepenuhnya bagi Terbuka Perancis namun kerja keras yang dilakukannya dan dengan rawatan rapi daripada doktor di Institut Sukan Negara (ISN), memastikan beliau pulih dengan pantas berjaya membuahkan hasil.

Dengan umur Pearly dan Thinaah yang masih muda, masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, mereka masih belum berada di puncak permainan dan mampu mencapai tahap yang lebih tinggi lagi.

Mereka sudah pun membuktikan siapa sahaja lawan yang berada di hadapan, itu bukanlah penghalang tetapi diri mereka sendiri yang menjadi penentu.

Dengan kejayaan semalam juga, mereka sudah melayakkan diri ke kejohanan BWF World Tour Finals hujung tahun ini.

Mereka juga mampu memastikan beregu wanita negara bukan lagi pasangan belasahan dan dalam landasan yang baik untuk mengikut jejak pasangan beregu wanita negara yang pernah berada di ranking pertama dunia satu ketika dahulu iaitu Chin Eei Hui-Wong Pei Tty.

Malah tidak mustahil mereka mampu pergi jauh lagi kerana mereka masih lagi muda dan perjalanan mereka masih lagi jauh.

Dengan memenangi Terbuka Perancis, Pearly-Thinaah telah mengatasi rekod terbaik Eei Hui-Pei Tty pada kejohanan yang sama sebagai naib juara.

Walaupun muda, mental kedua-dua pemain itu dilihat kuat dalam menghadapi segala tekanan, tohmahan dan isu luar gelanggang.

Contohnya ketika perlawanan menentang wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi, jurulatih pasangan itu, Eng Hian dilihat mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dengan melabel Pearly dan Thinaah sebagai ‘putih’ dan ‘hitam’.

Perkara itu turut ditegur oleh legenda badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei yang mengatakan bahawa setiap pemain dan jurulatih, dan juga netizen, harus menghormati antara satu sama lain dan tahu batasan mereka.

Diharapkan Pearly dan Thinaah terus tampil konsisten dalam setiap kejohanan yang disertai selepas ini dan perlahan-lahan mendaki ranking dunia, dan tidak mustahil mereka mampu menduduki tangga pertama dunia sebelum Olimpik Paris 2024 sekiranya kekal dengan prestasi yang mantap.