Nasib Shahidan Kassim dalam PRU-15 masih samar, KL City FC masih perlukan gandingan beliau dan Khalid Samad

591

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim baru sahaja memuatnaik satu hantaran di Facebook miliknya dengan nada sedih yang mengatakan bahawa semua bilik gerakan Barisan Nasional di Parlimen Arau telah ditutup.

Ia seolah-olah memberi bayangan tentang nasibnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang yang tidak sampai tiga minggu saja lagi.


Sekiranya benar perkara itu berlaku, ia sudah pasti akan memberi kesan kepada pasukan bola sepak yang dipimpinnya iaitu KL City FC.

Beliau baru sahaja dilantik sebagai penaung merangkap presiden kelab itu pada Ogos lalu selepas dikosongkan oleh Tan Sri Annuar Musa.

KL City yang melalui musim yang baik dalam saingan Piala AFC masih lagi memerlukan kepimpinan dan kewibaan beliau.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad sendiri yang berkata bahawa kerjasama antara beliau dan Shahidan mampu membawa kelab itu ke tahap kejayaan lebih tinggi.

Sayang sekiranya apa yang berlaku pada PRU kali ini memberi kesan terhadap barisan pengurusan KL City di saat kelab sedang berada di landasan yang tepat.

Selain itu, Shahidan bukan sahaja mempunyai pengaruh dalam KL City tetapi juga turut membantu meningkatkan kembali bola sepak Perlis.

Harimau Malaya sebelum ini pernah menemubual presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang mengakui bahawa Shahidan ada memberi sumbangan dana kepada pasukan Perlis United untuk beraksi.

Beliau sememangnya dikenali dalam bola sepak Perlis kerana pernah membawa pasukan itu melalui zaman kegemilangannya sekitar tahun 2000-an.

Bukan sahaja dalam bola sepak, Shahidan juga merupakan Presiden Renang Malaysia (MS) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Sekiranya beliau tidak lagi dipilih pada PRU kali ini, diharapkan ia tidak memberi kesan terhadap kedua-dua organisasi sukan tersebut.