Tindakan Tan Sri Dr. Daud Bakar lepas beberapa jawatan korporat demi fokus pada Kedah Darul Aman FC dan NGO dapat pujian

2,776

Nama tokoh dan pakar kewangan Islam Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menjadi sebutan peminat bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA) selepas beliau menjadi pemilik saham terbesar kelab tersebut.

Majoriti penyokong menyambut baik pemilikan saham tersebut kerana yakin dengan kemampuan Daud Bakar untuk menaikkan semula pasukan KDA pada musim hadapan selepas mengharungi musim yang cukup hambar musim ini.


Menyedari banyak perkara yang perlu beliau lakukan, Daud Bakar telah mengambil keputusan drastik untuk melepaskan beberapa jawatan korporat kerana mahu fokus pada KDA dan juga NGO (projek memberi makanan kepada pelajar miskin di seluruh negara), termasuk mahu aktif dalam fintech & teknologi canggih.

Keputusan itu menyaksikan beliau telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Bank Negara Malaysia (BNM) selepas berkhidmat selama 25 tahun.

Selain itu, beliau juga melepaskan jawatan di Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FAS), Unitersiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan beberapa bank di luar negara.

Keputusan itu nyata mendapat pujian dan dokongan daripada peminat yang merasakan Daud Bakar akan dapat beri perhatian untuk membina semula skuad Sang Kenari menjadi sebuah pasukan ampuh seperti sebelum ini.

Tindakan beliau juga boleh dikatakan hampir serupa dengan tindakan bekas pemilik Chealsea iaitu Roman Abramovich yang turut mengambil pendekatan sama dan berjaya membawa skuad The Blues itu keluar dari krisis kewangan sekaligus berjaya menjulang pelbagai kejuaraan.

Umum sedia maklum dengan keadaan skuad Hijau Kuning pada musim ini di mana rombakan besar-besaran yang dilakukan pada musim ini menyaksikan prestasi naib juara Liga Super 2021 merosot dengan mendadak.

Pelbagai kontroversi dan cerita kurang enak juga tular di media-media sosial yang secara tidak langsung menjejaskan imej dan reputasi pasukan sebagai salah sebuah pasukan gergasi utara.

KDA hari ini akan bertemu dengan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan kedua Piala Malaysia bagi merebut slot ke perlawanan suku akhir.

Sekiranya gagal, maka tamat sudah perjuangan pasukan KDA dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini dan sudah pasti Daud Bakar tidak akan menunggu lama untuk membuat persiapan pasukan bagi menghadapi Liga Super 2023 yang lebih mencabar terutama selepas penstrukturan liga yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL).

Peminat meletak 100 peratus kepercayaan terhadap kepimpinan Daud Bakar untuk mengemudi kelab untuk menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni pada musim hadapan.