Stuart Ramalingam tegaskan Sarawak United dan Melaka United tak perlu bubar, boleh cuba nasib sertai Liga M3

3,805

Melaka United FC dan Sarawak United FC sah tidak akan beraksi dalam Liga Super musim depan selepas rayuan mereka terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan ditolak.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam yang mengatakan bahawa Liga Super akan berjalan dengan 16 pasukan musim depan.


“Berdasarkan Artikel 3.4.4, Jawatankuasa Rayuan hanya boleh memeriksa dokumen yang ada ketika keputusan dibuat oleh FIB (First Instance Body), jadi itulah sebab keputusan tersebut dilakukan oleh Jawatankuasa Rayuan.

Kami sudah serahkan surat mengenai perkara ini kepada Sarawak United dan Melaka United pada pukul 12 tadi tetapi masih tiada respon daripada kedua-dua pihak,”

katanya.

Walaubagaimanapun, Stuart berkata, ini tidak bermakna kedua-dua pasukan itu terus bungkus, tetapi cuma tidak layak bertanding di bawah kejohanan yang dianjurkan oleh MFL.

Katanya, kedua-duanya masih boleh bertanding dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Amateur Football League (AFL) iaitu Liga M3.

“kita ada kejohanan di bawah AFL, yang mana mungkin ada kedudukan buat kedua-dua pasukan ini.

Tetapi ia tertakluk kepada kuasa AFL kerana ia di bawah badan yang berbeza dengan regulasi yang berbeza, jadi mereka yang boleh buat keputusan untuk terima Sarawak United dan Melaka United ataupun tidak.”

Dalam pada itu, Stuart juga enggan menjelaskan mengenai apa dokumen yang tidak lengkap oleh kedua-dua pasukan itu kerana ia merupakan perkara sulit.

Beliau juga enggan mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan bahawa PJ City FC bakal menarik diri musim depan.

Katanya, MFL sentiasa mempunyai tempat untuk PJ City yang melengkapkan proses perlesenannya dengan cemerlang dan berharap mereka terus mewarnai saingan Liga Super.