Victor Andrag bangga dengan aksi pemainnya walaupun perjuangan mereka di Piala Malaysia berakhir
Ketua jurulatih interim Kedah Darul Aman FC (KDA), Victor Andrag berpuas hati dengan aksi pemainnya sepanjang 90 minit permainan walaupun perjuangan mereka di kejohanan Piala Malaysia 2022 berakhir.
Pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia, KDA terikat tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan FC sekaligus tersingkir dengan agregat 2-1.
“Saya mahu ucap tahniah kepada kesemua pemain yang berkorban untuk mempertahankan gawang dari dibolosi. Kita cuba beri saingan sengit kepada pihak lawan.
Ada sedikit penambahbaikan dalam pasukan terutamanya persembahan pemain-pemain muda yang mana mereka bersemangat untuk tunjukkan kemampuan mereka, jadi sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada mereka,”
katanya.
Victor turut mendedahkan bahawa kebanyakkan pemain bergelut dengan kesihatan termasuk penjaga gol utama Ifwat Akmal yang tidak sihat namun tetap komited untuk turun beraksi dan telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya menyelamatkan banyak percubaan berbahaya daripada pemain Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Victor mengakui pemainnya sudah berusaha sehabis baik untuk cuba mencari gol tetapi kecederaan penyerang utama Ronald Ngah Wanja dan kurang pengalaman menjadi penghalang.
“Untuk perlawanan malam ini kami sudah bersedia kerana nothing to lose, kami go all out untuk cari gol namun masih gagal. Ronald pula terpaksa dikeluarkan awal akibat kecederaan, kita terpaksa bawa masuk pemain muda yang kurang pengalaman jika hendak dibandingkan dengan pemain pihak lawan.
Tapi saya perlu bagi kredit pada pemain-pemain muda yang sanggup tunjuk komitmen tinggi dan pamer aksi mantap malam ini.”
Sementara itu, Victor mengakui masih belum membuat sebarang perbincangan dengan pihak pengurusan mengenai kontraknya bersama skuad Sang Kenari pada musim hadapan.
“Ada perbincangan tapi bukan mengenai kontrak. Saya serah kepada pengurusan kelab.”
Beliau bagaimanapun menyuarakan keinginannya untuk terus kekal di Darul Aman sekiranya terus diberi peluang dan kepercayaan.