Belum ada tawaran buat masa ini, tapi harap dapat kekal dengan KDA FC – Kamil Akmal

1,396

Pemain pertahanan muda Kedah Darul Aman FC (KDA), Kamil Akmal mengakui beliau belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan lain buat masa ini untuk musim depan.

Kamil bagaimanapun menyuarakan berharap dapat terus kekal bersama skuad Sang Kenari.


“Setakat sekarang masih belum ada lagi, tapi kalau boleh kekal dengan KDA,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau merupakan antara pemain muda yang sedang meningkat naik sering diturunkan dalam kesebelasan utama.

Aksi cemerlang beliau juga sering mendapat pujian daripada peminat yang kagum dengan komitmennya apabila berjaya mengawal dan menghalang serangan pemain lawan yang lebih berpengalaman.

“Pujian daripada peminat itu saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk diri saya tapi banyak lagi perkara yang saya perlu belajar untuk meningkatkan permainan saya.

Semua orang tahu posisi yang saya main ketika ini adalah tempat bekas rakan sepasukan Rizal Ghazali seorang pemain yang cukup berkualiti, oleh sebab itu saya perlu belajar banyak lagi jika mahu jadi seperti beliau.”

Dalam pada itu, pemain berusia 23 tahun ini yang ditanya samada berasa tertekan atau tidak apabila tidak dapat menepati sasaran Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor iaitu pasukan KDA akan menjadi pencabar utama liga pada musim ini berkata, beliau dan rakan sepasukan tidak langsung berasa tertekan.

Ini kerana menurut Kamil, semua sedia maklum dengan rombakan besar-besaran pasukan KDA musim ini termasuk dibarisi ramai pemain muda, oleh itu agak mustahil untuk mendapat keputusan cemerlang dalam tempoh yang singkat.

KDA menamatkan saingan Liga Malaysia dalam keadaan yang mengecewakan apabila mereka bukan sahaja tersingkir dari saingan Piala FA dan Piala Malaysia, malah mereka hanya berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga ke lapan sekaligus menjadikan musim 2022 adalah yang terburuk sejak kembali beraksi di Liga Super pada tahun 2016.