Nasib PJ City FC dan UiTM FC ibarat telur di hujung tanduk, hanya 14 pasukan sertai Liga Super 2023?

1,434

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam membuat satu pengumuman mengejutkan semalam mengenai status dua kelab, Sarawak United FC dan Melaka United FC yang gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan yang menyaksikan mereka tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super 2023.

Tambah Stuart, Liga Super akan berjalan dengan 16 pasukan berbanding perancangan asal iaitu sebanyak 18 pasukan ketika pengumuman mengenai penstukturan semula liga diumumkan.


Namun sejak kebelakangan ini, khabar angin kuat mengatakan bahawa terdapat pasukan yang mahu menarik diri dari saingan Liga Super gara-gara kekangan kewangan.

Menurut laporan, kedudukan PJ City FC dan UiTM FC dalam saingan Liga Super 2023 masih belum pasti lagi dan terdapat kemungkinan kedua-dua kelab itu mungkin terpaksa melupakan saingan musim depan.

Sekiranya kedua-dua pasukan betul-betul terpaksa menarik diri, ini bermakna Liga Super akan berkurangan kepada 14 pasukan sahaja musim depan.

Penurunan daripada 18 ke 14 pasukan, ia adalah satu jumlah yang banyak dan dilihat memberi kesan yang besar kepada agenda penstukturan semula yang sepatutnya menjadikan liga lebih kompetitif.

Penambahan daripada 12 pasukan kepada 14 pasukan juga seolah-olah tidak membawa makna apa-apa jika dibandingkan dengan jumlah asal yang dicadangkan iaitu 18 pasukan.

Diharapkan walau apa pun yang terjadi kepada PJ City dan UiTM, MFL tetap dapat mengekalkan 16 pasukan pada musim depan demi kebaikan liga.

Mungkin MFL boleh membuka semula peluang kepada pasukan daripada Liga M3 contohnya juara dan naib juara, PIB FC dan KL Rovers FC untuk membuktikan mereka layak dan bersedia untuk ke Liga Super.

Seperti peluang yang diberikan kepada Melaka United dan Sarawak United untuk merayu selepas permohonan Lesen Kebangsaan mereka ditolak sebelum ini, kelab-kelab Liga M3 juga harus diberi peluang kedua.

Lagipun, kedua-dua pasukan itu pastinya masih merasakan keputusan MFL membatalkan perlawanan playoff dengan dua pasukan tercorot Liga Perdana sebelum ini sebagai tidak adil.

Jika Liga Super diteruskan dengan 14 pasukan musim depan, ia sedikit sebanyak mengurangkan kerancakan liga dan tahap kompetitifnya.