Kelab yang nak sangat tewaskan JDT boleh ambil ketua jurulatih Urawa Red Diamonds, bakal tinggalkan finalis ACL itu hujung musim ini

3,477

Ketua jurulatih Urawa Red Diamonds, Ricardo Rodriguez dilaporkan akan meninggalkan gergasi Jepun itu pada penghujung musim ini selepas kira-kira dua tahun berkhidmat.

Ia berikutan persembahan yang kurang memuaskan pasukan itu dalam liga di mana mereka kini berada di tangga kelapan liga, 21 mata di belakang pendahulu, Yokohama F. Marinos.


Walaupun beliau berjaya membawa pasukan itu melangkah ke perlawanan akhir AFC Champions League (ACL), ia tidak cukup untuk memastikan kedudukan beliau selamat.

Dengan berita ini, pasukan-pasukan Liga Super yang sudah lama berhajat untuk menewaskan JDT harus mengambil peluang untuk membawa beliau ke Malaysia.

Pengendali daripada Sepanyol itu pernah membawa kelabnya membelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-0 pada pusingan 16 terakhir ACL Ogos lalu.

Musim ini, JDT masih belum pernah ditewaskan lagi oleh mana-mana pasukan tempatan dalam semua kejohanan.

Walaupun kebanyakan kelab sentiasa bermain dengan semangat yang lebih ketika menentang JDT, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu masih utuh mengekalkan rekod tanpa kalah mereka.

Jawatan ketua jurulatih di Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC ketika ini masih mempunyai kekosongan dan hanya diisi oleh ketua jurulatih interim.

Sebelum musim ini bermula, presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pernah berkata bahawa beliau yakin pasukan Kedah mampu menewaskan JDT untuk menjuarai Liga Super.

Sri Pahang pula musim ini berjaya mengikat JDT dalam dua pertemuan liga.

Mungkin sentuhan yang dimiliki Rodriguez adalah kunci terakhir buat kedua-dua pasukan untuk akhirnya berjaya menewaskan JDT.

Dalam saingan ACL musim ini, beliau cemerlang membawa Urawa Red Diamonds ke perlawanan akhir ACL dengan menewaskan JDT di pusingan 16 terakhir, sebelum menewaskan BG Pathum United di suku akhir dan Jeonbuk Hyundai Motors di separuh akhir.