Hanya tunggang motosikal kapcai ke sesi latihan, sikap rendah diri Nafuzi Zain buat peminat kagum

1,913

Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain sememangnya dikenali sebagai seorang jurulatih yang merendah diri’, sempoi’ dan mudah didekati oleh semua orang.

Baru-baru ini, tular gambar Nafuzi menaiki motosikal kapcai jenis Yamaha SS untuk ke sesi latihan Terengganu yang dirakam oleh jurugambar kelab, Aidir Muslimin.


Gambar tersebut dirakam ketika beliau tiba ke sesi latihan pasukan menjelang perlawanan timbal balik pusingan 16 terakhir menentang Sri Pahang FC semalam.

Sebelum ini juga, beliau pernah dirakam menaiki kereta Perodua Kelisa untuk ke sesi latihan pasukan.

Walaupun bergaji besar dan lebih daripada mampu untuk menaiki kereta ataupun motor yang berkuasa tinggi, beliau tetap selesa menaiki motosikal dan kereta biasa.

Personalitinya yang sentiasa merendah diri membuatkan beliau disayangi serta dikagumi bukan sahaja oleh penyokong Terengganu, tetapi juga penyokong lawan.

Kelab yang mendapatkan beliau pastinya beruntung kerana mempunyai seorang jurulatih yang bukan sahaja pakar taktikal, tetapi mempunyai personaliti yang mengagumkan.

Mentaliti itu dilihat turut dibawa dalam pasukan dan para pemain jelas menghormatinya sehingga ada yang sanggup mengikutinya jika beliau berpindah.

Walaupun menaiki kenderaan biasa, taktikalnya jelas amat luar biasa apabila membantu Terengganu mencatat kemenangan besar agregat 9-3 ke atas Sri Pahang pada perlawanan tersebut.

Perlawanan selepas ini bakal menjadi ujian yang lebih mencabar buat Nafuzi apabila berdepan finalis Piala AFC yang juga juara bertahan Piala Malaysia, KL City FC.

Di atas kertas, ia mungkin bakal memihak kepada Terengganu berdasarkan dua kemenangan yang dicatatkan oleh finalis Piala FA itu ke atas KL City dalam liga musim ini.

Namun mereka harus berhati-hati dengan kehebatan taktikal Bojan Hodak yang digelar sebagai ‘cup specialist’.

Ketika ini, masa depan Nafuzi menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan terutama penyokong Terengganu kerana beliau masih belum membuat keputusan mengenai kontrak baru yang ditawarkan.

Sekiranya Nafuzi mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab itu, diharapkan ia adalah perpisahan yang menaikkan lagi karier beliau selepas ini.

Terengganu juga diharap dapat meneruskan momentum cemerlang pada musim depan, lebih-lebih lagi dalam saingan Piala AFC.