Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying bakal gantung raket, berakhirnya era pasangan beregu campuran paling hebat negara
Arena badminton negara mungkin akan kehilangan khidmat naib juara Olimpik 2016 dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang dijangka bakal bersara dalam masa terdekat ini.
Selepas tidak berjaya menampilkan keputusan yang baik pada Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis baru-baru ini, Peng Soon dikhabarkan akan mempertimbangkan untuk bersara.
Perkara itu diakui oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky yang mengatakan bahawa pemain itu ada menyuarakan hasrat untuk menggantung raket sekiranya keputusan kejohanan di Eropah tidak bagus.
Bekas pasangannya, Goh Liu Ying pula mengakui bahawa kejohanan Terbuka Malaysia tahun depan bakal menjadi penampilan terakhirnya sebelum menggantung raket.
Ini bakal menjadi satu kehilangan besar buat arena badminton negara terutama kategori beregu campuran kerana pasangan itu boleh dianggap sebagai pasangan beregu campuran terbaik yang pernah dimiliki negara.
Mungkin BAM boleh mengikat kedua-dua pemain itu dengan segera untuk terus berkhidmat melatih pemain-pemain muda.
Pasangan itu mula digandingkan pada tahun 2009 dan berpisah tahun lalu. Mereka pernah menduduki tangga ketiga dalam ranking dunia.
Peng Soon kini bergandingan dengan Cheah Yee See, manakala Liu Ying pula pernah bergandingan dengan Ong Yew Sin, Soong Joo Vern dan Low Juan Shen sejak keluar dari BAM.
Selain kejayaan naib juara Olimpik, mereka pernah meraih emas dalam kejohanan Asia, selain empat kejuaraan BWF World Tour dan satu kejuaraan BWF Superseries.
Seorang lagi pemain badminton beregu campuran negara, Peck Yen Wei juga mengumumkan perletakan jawatannya daripada BAM selepas 10 tahun berkhidmat bagi memberi laluan kepada pemain muda.
Menurut Rexy, pihaknya akan cuba menaikkan muka-muka baru seperti Choong Hong Jian, Chen Tang Jie dan Hoo Pang Ron selepas ini.
Dalam pada itu, bekas pemenang Olimpik dan Juara Dunia, Tony Gunawan dilaporkan sedang dirisik oleh BAM untuk menjadi jurulatih.
Beliau yang pernah mewakili Indonesia dan Amerika Syarikat itu dikhabarkan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Flandy Limpele awal tahun ini.
Kemasukan beliau dijangka bakal meningkatkan lagi tahap beregu lelaki negara yang ketika ini semakin cemerlang.
Sementara itu, diharapkan BAM dapat melantik segera bekas pemain kebangsaan, Ching Eei Hui dan juga Lim Pek Siah bagi mengisi jawatan jurulatih beregu campuran negara.
Kontrak Pek Siah bersama Persatuan Badminton Singapura tamat pada November ini dan beliau dikhabarkan berminat untuk kembali menabur bakti di Malaysia, manakala Eei Hui pula kini aktif melatih beberapa pasangan beregu profesional negara.
Gandingan mereka dilihat mampu mengembalikan zaman kegemilangan beregu campuran negara seperti Peng Soon dan Liu Ying.