Zerry Nazeri harap ada banyak liga bola sepak wanita yang lebih panjang untuk pendedahan kepada pemain

211

Jurulatih pasukan bola sepak wanita Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Zerry Nazeri berharap lebih banyak kejohanan berdurasi panjang akan dapat dianjurkan selepas ini bagi menyokong perkembangan pemain-pemain yang semakin bertambah ketika ini.

Buat masa ini, dapat dilihat bahawa bola sepak wanita mula mendapat tempat di Malaysia dengan kehadiran pool pemain yang terus meningkat dari semasa ke semasa.


“Kalau kita ada liga yang lebih panjang lebih bagus untuk pendedahan kepada pemain.

Kalau liga yang singkat, minit permainan mereka akan kurang, kita perlu pandang secara positif untuk menjadikan bola sepak wanita bergerak seiring dengan lelaki,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ketika ini, memang ada satu dua kejohanan yang telah dianjurkan seperti Liga Wanita Nasional (LWN) serta Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR), namun tempohnya yang begitu pendek merencatkan proses pendedahan kepada pemain yang bertanding.

Jika pemain ini berjaya mendapatkan peluang menyertai saingan kompetitif lebih kerap, tidak mustahil kita dapat mempertingkatkan kemampuan pasukan wanita negara untuk menjadi setanding dengan negara serantau seperti Vietnam dan Filipina.

“Saya lebih suka kalau ada agensi macam KPM sendiri untuk menganjurkan kejohanan bawah umur untuk mendapatkan minit permainan.

Pemain-pemain dapat didedahkan dengan permainan sebenar, kalau kita sekadar berlatih sepanjang tahun agak merugikan juga sebenarnya.”

Walau bagaimanapun, Zerry tetap gembira dengan perkembangan-perkembangan yang mula terlihat pada ketika ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mula mencari pelbagai inisiatif yang sesuai dalam memastikan sukan bola sepak wanita di Malaysia tidak jauh ketinggalan.

“Kita dah mula membuka langkah supaya kita melahirkan bola sepak wanita ini di peringkat akar umbi dahulu.

Saya lihat ibu bapa mula menerima bahawa permainan bola sepak bukan hanya untuk lelaki sahaja.”

Pada masa yang sama, beliau turut berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh anak buahnya di dalam dua kejohanan utama yang disertai pada tahun ini.

Terdahulu, pasukan SSMP berjaya menjuarai saingan LWN Zon Tengah mengatasi Selangor FC untuk melayakkan mereka bertanding di PTSR tahun ini.

Ia merupakan pencapaian memberangsangkan buat sebuah pasukan yang rata-rata dibarisi oleh pemain di bawah umur 17 tahun.

“Rumusan yang saya boleh buat, dari segi teknikal dan taktikal masih banyak yang perlu kita perbetulkan dengan kejohanan yang tinggi seperti PTSR.

Kalau ikut persembahan, memuaskan bagi saya sebagai jurulatih dan ada pihak yang mengatakan ia satu kejayaan untuk peringkat umur yang sekarang.”

Beliau juga mengakui meminati format pertandingan yang digunakan di dalam LWN di mana ia lebih panjang serta memberi tempoh untuk setiap melakukan persiapan yang lebih baik.

“Sebab itu saya suka pertandingan Liga Wanita Nasional kerana kita pergi bermain satu minggu ke satu minggu.

Format yang diperkenalkan memberi peluang kepada kami untuk memperbetulkan kesilapan apa yang berlaku pada setiap perlawanan.”

Dalam pada itu, Zerry bersama barisan kejurulatihannya sedang merangka perancangan untuk menghadapi saingan musim depan tatkala ada beberapa pemain mereka yang bakal menamatkan persekolahan tidak lama lagi.

Sebagai sebuah sekolah sukan, sudah menjadi kebiasaan untuk mereka kehilangan pemain-pemain utama yang telah dilatih sekian lama.

“Perancangan saya untuk tahun depan adalah bagi mendapatkan bakat-bakat baru di setiap pelusuk negeri di Malaysia.

Memasukkan pelajar tingkatan tiga dan tingkatan empat untuk mengisi kekosongan.”