Malaysia dapat tonik tambahan, Myanmar bakal beraksi tanpa penyokong di ‘home’ pada Piala AFF
Kurang dua bulan lagi kejohanan bola sepak serantau, Piala AFF bakal membuka tirainya dengan Malaysia bakal bertemu Myanmar di gelanggang lawan pada perlawanan pertama.
Stadium yang bakal digunakan untuk perlawanan tersebut adalah Stadium Thuwanna yang terletak di Yangon dengan kapasiti 32,000 penonton.
Namun, Myanmar dilaporkan akan beraksi tanpa penyokong disebabkan isu keselamatan, difahamkan gara-gara krisis politik yang sedang melanda negara itu.
Bukan sahaja perlawanan menentang Malaysia, perlawanan menentang Laos yang dijadualkan di stadium sama pada 30 Disember juga terpaksa dilangsungkan tanpa penonton.
Ini pastinya satu tonik tambahan buat pasukan negara kerana akan beraksi tanpa tekanan penyokong lawan, manakala Myanmar pula tidak dapat merasai sokongan daripada penyokong mereka.
Hanya perlawanan menentang Vietnam di gelanggang lawan dilihat menjadi cabaran buat skuad negara, manakala dua lagi perlawanan iaitu menentang Laos dan Singapura bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini harus dijadikan motivasi tambahan buat anak buah Kim Pan-gon untuk sekurang-kurangnya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Pengendali dari Korea Selatan itu harus memastikan bahawa Malaysia tidak pulang awal lagi seperti edisi lalu.
Tambahan pula, Malaysia sudah melayakkan diri ke Piala Asia 2023, justeru motivasi dalam kem kebangsaan kini pasti berada di tahap yang tinggi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Indonesia juga dilaporkan tidak akan menggunakan stadium keramat mereka, Stadium Gelora Bung Karno untuk Piala AFF kerana masih melalui proses penambahbaikan bagi Piala Dunia B-20 tahun depan.