Kenapa sekarang banyak ahli politik tiba-tiba berminat bercakap mengenai bola sepak?
Bola sepak dan politik masih lagi belum dapat dipisahkan sepenuhnya walaupun Liga Malaysia sudah diswastakan apabila masih ada beberapa kelab yang mempunyai kaitan dengan ahli politik.
Memandangkan situasi semasa Malaysia bakal mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, ditambah dengan kehangatan saingan Piala Malaysia yang memasuki peringkat suku akhir, maka ahli politik tidak melepaskan peluang untuk turut bercakap mengenai sukan bola sepak.
Malah ada yang menggunakan bola sepak sebagai ‘modal’ untuk menagih undi dengan menabur janji mahu menaikkan semula pasukan bola sepak yang sedang tenat untuk kembali ke zaman kegemilangan.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Abu Bakar Hamzah membuat manifesto mahu mengembalikan semula kegemilangan pasukan Singa Utara itu.
Kenyataan ini dilihat seperti mahu meraih publisiti berikutan rakyat Perlis dan bola sepak tidak dapat dipisahkan.
Terbaru seorang lagi ahli politik dari Kedah, Asmirul Anuar Aris turut tidak melepaskan peluang untuk memberi kenyataan mahu pihak kerajaan perlu cari jalan untuk mengembalikan kegemilangan Kedah Darul Aman FC (KDA) selepas pasukan itu mempamerkan aksi hambar sepanjang musim ini.
Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Exco Belia dan Sukan Kedah kecewa dengan prestasi Sang Kenari musim ini.
Beliau dalam kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan turut menggesa agar pihak kerajaan negeri ambil pendekatan sewajarnya untuk meningkatkan pengurusan, kejurulatihan dan urusan sukan.
Seorang lagi ahli politik Kedah iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Johar Abdul turut meluahkan kekecewaannya terhadap prestasi buruk dan memalukan KDA, oleh itu beliau mahu Exco Belia dan Sukan lakukan tindakan agresif untuk mencari punca terhadap prestasi hambar musim ini.
Disebalik keghairahan ahli politik lain membicarakan mengenai bola sepak, individu yang sebelum ini lantang bersuara mengenai bola sepak tanah air dan mencetuskan pelbagai kontroversi kini sunyi sepi tanpa sebarang kenyataan terbaru mengenai prestasi pasukan KDA.
Individu tersebut adalah Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Walaupun ada segelintir yang tertunggu-tunggu dengan kenyataan terbaru Sanusi, namun ramai yang lega tiada kenyataan terbaru darinya kerana kenyatannya sebelum ini sering menyebabkan perbalahan berlaku di antara peminat.
Tidak salah bercakap mengenai bola sepak kerana semua sedia maklum sukan bola sepak adalah sukan nombor satu negara, tetapi jika bercakap mengenai bola sepak demi menagih undi ia adalah sesuatu perkara yang tidak wajar dilakukan.
Bola sepak dan politik sepatutnya dipisahkan kerana Liga Malaysia sudah diswastakan, oleh itu setiap kelab sepatutnya diuruskan oleh individu profesional dan bukannya orang politik.
Diharap dalam tempoh terdekat ini kesemua kelab bola sepak di Liga Malaysia akan diuruskan oleh mereka yang profesional secara tidak langsung ia akan memajukan lagi bola sepak negara.