Banyak kelab mula tekankan pembangunan akar umbi, makin banyak ‘ubi’ muda bakal meriahkan arena bola sepak tempatan

416

Dalam bola sepak, pembangunan akar umbi adalah antara elemen yang paling penting dalam mewujudkan kelab bola sepak yang berjaya.

Di Malaysia, perkara ini dahulunya kurang diberi penekanan oleh kelab-kelab tempatan namun sejak kebelakangan ini ia semakin diberi perhatian.


Baru-baru ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan bahawa akademinya mempunyai rangkaian pencarian bakat di Johor dan seluruh Malaysia dalam mencari bakat yang berpotensi untuk menyertai Akademi JDT.

Pihaknya juga melakukan proses pencarian bakat-bakat baharu dan mengendalikan sesi percubaan secara jemputan secara berterusan sepanjang tahun.

Kelantan FC juga baru sahaja mewujudkan akademi mereka sendiri baru-baru ini yang diberi nama TRW International Football Academy, bermula dari peringkat umur B-8.

Menurut pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham, akademi tersebut akan menjalankan kerjasama dengan beberapa akademi dari negara Afrika seperti Senegal.

Perak FC sebelum ini juga dalam perancangan untuk mewujudkan akademi bola sepak dengan kerjasama kelab Bundesliga, Wolfsburg.

Ini merupakan satu perkembangan positif buat pembangunan akar umbi bola sepak negara dengan lebih banyak kelab kini sudah membuka mata mengenai kepentingan mewujudkan akademi bola sepak sendiri yang berkualiti tinggi.

Selain itu, kerjasama yang dilakukan dengan pihak luar seperti yang dilakukan oleh TRW International Football Academy harus diperbanyakkan lagi oleh pasukan tempatan.

Ini adalah satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan lagi standard bola sepak tempatan dengan mempelajari ilmu dari negara-negara yang mempunyai tahap bola sepak yang lebih baik.

Ketika ini, Malaysia boleh dikatakan kekurangan penyerang berbisa gara-gara terlalu berharap dengan pemain import.

Mungkin beberapa tahun akan datang, kebergantungan kepada pemain-pemain luar sudah tidak lagi menjadi keutamaan kelab-kelab tempatan dan lebih selesa menggunakan pemain dari akademi mereka.

Selain daripada meningkatkan kualiti bakat tempatan, ia boleh menjadi satu cara kelab untuk membuat duit dengan mengeksport bakat-bakat yang dilahirkan mereka ke kelab yang lebih besar di luar negara.