Saingan Liga Super musim depan pasti akan suram jika tiada PJ City FC

2,563

Walaupun PJ City FC adalah sebuah kelab kerdil dalam saingan Liga Super, namun kelibat mereka sentiasa mendapat perhatian terutamanya apabila membabitkan soal pengurusan pasukan.

Tidak keterlaluan jika hendak dikatakan kelab yang berpengkalan di Petaling Jaya ini adalah antara kelab yang bebas dari sebarang masalah terutamanya masalah gaji.


Ini telah membuktikan bahawa pengurusan kelab yang dikenali dengan jolokan The Phoenix ini diuruskan oleh mereka yang bukan sahaja mempunyai keghairan dalam dunia bola sepak, tetapi juga sangat profesional dalam pengurusan.

Lebih hebat lagi, PJ City merupakan satu-satunya pasukan yang beraksi dengan menggunakan 100 peratus pemain tempatan bersaing dalam Liga Super yang mana kesemua pasukan lain mempunyai ramai pemain import.

Terkenal dengan moto #YakiniLokal, PJ City telah membuktikan pemain tempatan juga mampu mempamerkan aksi cemerlang sekiranya diberi ruang dan peluang.

Biarpun mereka tidak mampu berada dalam kedudukan Top 5 Liga Super seperti yang disasarkan pada awal musim ini, namun mereka juga tidak berada di tangga tercorot.

Skuad kendalian P. Maniam ini menamatkan kempen Liga Super mereka di tangga ke lapan selepas 22 perlawanan dengan mencatat enam kemenangan, lapan seri dan lapan kekalahan.

Ketika saingan Liga Malaysia bakal menutup tirainya, timbul khabar angin mengenai pasukan itu yang dikatakan bakal mendapat pemilik baru.

Perkara itu dinafikan oleh pengurusan, malah ketika Harimau Malaya menemubual P. Maniam, beliau menjelaskan pasukan itu akan terus beraksi pada musim depan.

Malah PJ City juga sudah mendapat Lesen Kebangsaan oleh Malaysian Football League (MFL) untuk terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun sejak kempen Piala Malaysia tamat, pelbagai khabar angin terus timbul termasuk tonggak utama skuad itu akan meninggalkan pasukan itu.

Antara nama yang disebut adalah penyerang kebangsaan, Darren Lok yang kini dikaitkan akan ke Sabah FC pada musim depan.

Beberapa tonggak utama lain turut dikaitkan akan berhijrah ke pasukan baru termasuk penjaga gol utama mereka dan juga pemain kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz.

Kita sudah pun kehilangan dua pasukan dari saingan Liga Super iaitu Melaka United FC dan Sarawak United FC apabila kedua-dua pasukan ini tidak mendapat Lesen Kebangsaan berikutan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai yang masih lagi belum selesai.

Perancangan MFL yang membuat penstrukturan liga dengan 18 pasukan beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan terencat dengan ketiadaan Melaka United dan Sarawak United.

Ketiadaan dua pasukan ini tidak memberi impak besar sangat kerana masih mempunyai 16 pasukan untuk beraksi sekaligus menepati kriteria Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjadikan Liga Super kompetitif.

Namun jika PJ City pula yang menarik diri, penstrukturan liga yang dilakukan akan menjadi sia-sia sahaja.

Sekiranya pengurusan PJ City tidak lagi mampu untuk menguruskan kelab itu, diharap mereka akan segera mencari pemilik baru supaya kelab ini tidak terkubur begitu sahaja selepas bertungkus-lumus untuk capai ke tahap tertinggi.