Kedudukan Khairulazhan di Selangor bakal tergugat, perpindahan pilihan terbaik untuk hidupkan semula karier
Selepas Melaka United sah tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, ramai pemainnya yang mula dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.
Antara yang dilaporkan bakal berpindah adalah penjaga gol, Bryan See Tian Keat yang melakukan 12 penampilan bersama pasukan itu musim ini.
Ketika ini, Selangor FC adalah antara kelab yang hangat dikaitkan dengan penjaga gol yang berasal dari Subang Jaya itu.
Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, ini dijangka akan menggugat kedudukan bekas pemain kebangsaan, Khairulazhan Khalid sebagai penjaga gol nombor dua pasukan.
Pada pertengahan musim ini, beliau ‘diturunkan pangkat’ daripada penjaga gol utama pasukan selepas beberapa aksi goyah di bahagian gawang Selangor.
Selepas melepaskan lima gol menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), tempat ‘Yan’ sebagai penjaga gol utama digantikan oleh Samuel Somerville.
Dengan statusnya sebagai penjaga gol kebangsaan, beliau pastinya tidak mahu menjadi pilihan ketiga dan mungkin lebih selesa mencari tempat dalam pasukan lain.
Sekiranya Selangor membawa masuk Bryan See, sudah tentu bukan untuk diletakkan sebagai pilihan ketiga.
Jadi, sekiranya Khairulazhan mahu terus menjadi penjaga gol utama, adalah lebih baik sekiranya beliau berhijrah ke kelab baru.
Tiga kelab dilihat sesuai dengan penjaga gol kelahiran Pahang itu iaitu Kelantan FC, Penang FC dan juga Kedah Darul Aman FC.
Kelantan FC yang sedang dalam proses transformasi untuk musim depan dilihat destinasi paling sesuai buat Khairulazhan mengembalikan semula keyakinan dirinya.
Di bawah bimbingan ketua jurulatih baru musim depan, dengan pengalaman yang dimiliki oleh Khairulazhan, perpindahan itu boleh menjadi situasi menang-menang buat kedua-dua pihak.
Selain itu, Penang FC juga adalah satu destinasi yang boleh dipertimbangkan memandangkan pasukan itu mempunyai rekod kedua terburuk bagi gol bolos musim ini.
Penjaga gol berpengalaman seperti Khairulazhan dapat meningkatkan lagi kekuatan di bahagian pertahanan, dan juga memberi saingan kepada penjaga gol sedia ada iaitu Hafizul Hakim dan Khatul Anuar.
Kedah Darul Aman FC juga baik buat kariernya namun kecemerlangan Ifwat Akmal mungkin memberi kesukaran buatnya untuk merebut tempat selaku penjaga gol utama pasukan.
Tetapi sekiranya beliau dapat mengembalikan kehebatannya seperti ketika di puncak, tidak mustahil beliau mampu merampas kedudukan penjaga gol utama di Kedah.