‘Rebranding’ Melaka United, nasib baik tidak bergabung dengan Sarawak United
Pasukan Melaka United FC yang gagal mendapatkan lesen kebangsaan setelah menghadapi beberapa masalah kewangan musim ini bakal melalui penjenamaan dan penstrukturan semula bagi saingan musim hadapan.
Pasukan yang tidak dapat beraksi di kancah Liga Super musim depan tersebut bakal berwajah baru dengan pertukaran nama kepada Harimau Melaka FC.
Perkara ini dikongsikan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Nur Azmi Ahmad.
Perubahan ini juga akan turut melibatkan perubahan terhadap MUSA yang selepas ini akan dikenali dengan nama Persatuan Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA).
Nasib baik mereka tidak mempertimbangkan ‘cadangan’ daripada banyak pihak untuk bergabung dengan sebuah lagi pasukan yang menghadapi masalah sama, Sarawak United untuk menubuhkan sebuah pasukan baru.
Kedua-dua pasukan ini disingkirkan daripada Liga Super kerana mereka gagal menyediakan kesemua dokumen yang diperlukan oleh badan First Instance Body (FIB).
Inisiatif yang dilakukan ini diharap mampu mengembalikan maruah bola sepak negeri Melaka yang telah sekian lama tercalar dek isu tunggakan gaji yang sering berulang untuk beberapa musim.
Menurut perkongsian, dilihat sudah mula ada perancangan yang mula dirangka untuk pasukan Harimau Melaka FC musim depan dengan peruntukkan bajet permulaan sebanyak RM 1.5 juta untuk mereka bersaing di Liga M3.
Nur Azmi yang juga merupakan Naib Presiden untuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat sasaran untuk kembali ke Liga Super pada musim 2024 adalah sebagai sesuatu yang mampu direalisasikan.
Namun, mereka perlu segera mengambil langkah pertama terlebih dahulu iaitu mengemukakan permohonan untuk menyertai saingan Liga M3 kepada pihak Amateur Football League (AFL) yang bertanggungjawab menguruskan saingan tersebut.
Berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh pihak AFL sebelum ini, hanya Sarawak United sahaja yang telah menyatakan keinginan mereka untuk menyertai saingan Liga M3 pada musim depan.
Harapnya pihak pengurusan tidak terus menunggu dan menunggu sebelum melakukan sebarang tindakan.
Sekiranya berjaya menyertai Liga M3 musim depan, mereka hendaklah menyiapkan sebuah pasukan yang baik dan mampu bersaing dengan pasukan lain yang tidak kurang hebat seperti Harini FT, PIB FC dan KL Rovers.
Jangan hanya mewujudkan sebuah pasukan ‘ala kadar’ dan terpaksa kekal di saingan tersebut untuk jangka masa yang panjang seperti apa yang berlaku kepada Perlis United FC ketika ini.
Walau apapun, besar harapan peminat untuk melihat perubahan yang bakal dilakukan ini dapat menyelamatkan ‘air muka’ negeri tersebut.
Sejak beberapa musim kebelakangan ini, pasukan Melaka United tidak lari daripada masalah hutang yang berlarutan meskipun silih berganti pengurusan.
Ini bukan kali pertama mereka ditimpa masalah sebegini, pasukan Melaka pernah melalui ‘zaman gelap’ ketika tersingkir ke Liga FAM satu masa dahulu.
Semoga ini akan menjadi sinar baru buat bola sepak Melaka, Gegau Melaka Gegau!